Wednesday, May 13, 2009

'Atasi segera krisis elak rakyat derita'

'Atasi segera krisis elak rakyat derita'

Oleh Ridzuan Yop, Anwar Hussin, Shamsul Kamal Amarudin, Mohd Feroz Abu Bakar, Nurhayati Abdllah dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my


PEMANGKU Sultan Perak Raja Dr Nazrin Shah diiringi Mohammad Nizar
ketika tiba pada istiadat pengurniaan pingat sempena ulang tahun
keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah,
di Kuala Kangsar, semalam.




Penyelesaian BN berteras undang-undang: TPM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang penyelesaian yang diambil Barisan Nasional (BN) berhubung kemelut politik di Perak akan berteraskan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, kemelut politik di Perak harus diatasi segera kerana masalah itu jika dibiarkan berterusan akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

"Jika tidak ada satu pendekatan menyeluruh untuk menangani masalah ini, kita amat bimbang kerana ia sudah berlarutan sekian lama, oleh itu semua pihak mungkin boleh melihat pendekatan lain, walaupun ia ada kaitan dengan soal Perlembagaan.

"Segala-galanya mesti dilihat untuk kepentingan rakyat. Walau apapun keputusan mesti tidak membelakangkan kepentingan rakyat dan sah dari segi undang-undang supaya rakyat tidak berhadapan dengan masalah kerana pentadbiran tidak boleh berjalan," katanya pada sidang media selepas melawat Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran di Bukit Kiara di sini, pagi semalam.

Beliau mengulas mengenai kemelut politik di Perak yang dikhuatiri akan bertambah buruk berikutan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) kelmarin yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menyuarakan kesediaan untuk mencari titik persamaan bagi menyelesaikan konflik politik di Perak.
ZAMBRY diiringi Adun BN Perak menjawab soalan pemberita ketika sidang media di Ipoh, semalam.


"Yang paling utama ialah rakyat Perak tidak menanggung kesan daripada kemelut ini. Walau apapun keputusan yang dibuat, kita hendak supaya satu kerajaan yang kukuh wujud di sana dan kerajaan itu mampu membantu membangunkan Perak," katanya.

Ditanya sama ada BN bersedia jika pilihan raya negeri diadakan di Perak, Muhyiddin berkata, beliau tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku, walaupun mahkamah sudah membuat keputusan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar.

No comments: