Wednesday, May 13, 2009

Gantung tugas SUK Perak bercanggah undang-undang

Gantung tugas SUK Perak bercanggah undang-undang

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


PEGUAM pemerhati, Datuk Mohd Hafirizam Harun (kanan) menyatakan sesuatu kepada media selepas Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin, di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, semalam.

Abdul Rahman, Ahmad Kamal diminta bekerja seperti biasa

PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Shahid bercanggah dengan Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata mengikut undang-undang itu Menteri Besar tidak mempunyai kuasa perundangan menggantung kerja Abdul Rahman dan Ahmad Kamal

Sehubungan itu, beliau meminta Abdul Rahman dan Ahmad Kamal menjalankan tugas seperti biasa sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang.

"Mengikut Perkara 36(C) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan termasuk kuasa untuk menggantung kerja dan memecat.

"Bagi Penasihat Undang-Undang, kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, manakala bagi Setiausaha Kerajaan Negeri, kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada lebih 650 kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Mengulas lanjut, Mohd Sidek berkata, tindakan menggantung dan memecat penjawat awam tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan.

"Penggantungan kerja seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada peruntukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993.

"Sementara mengikut peraturan 45(1) TU(A395)/1993, seseorang penjawat awam boleh digantung kerja jika pegawai itu sudah disabitkan mana-mana mahkamah jenayah atau suatu perintah seperti dinyatakan dalam Peraturan 32 perintah tahanan, buang negeri, pengawasan, kediaman terhad dan sebagainya sudah dibuat terhadap pegawai itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penggantungan kerja terhadap Abdul Rahman dan Ahmad Kamal tidak membabitkan mana-mana alasan yang sudah dinyatakan, menyebabkan ia tidak sah mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Mohammad Nizar yang dilaporkan menggantung tugas Abdul Rahman dan Ahmad Kamal selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, status penggantungan itu menjadi tanda tanya apabila Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan itu sehingga selesai rayuan.





Tiada kuasa gantung dua pegawai kanan kerajaan negeri

PUTRAJAYA 12 Mei – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak mempunyai kuasa untuk menggantung tugas Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, kedua-dua pegawai kanan kerajaan negeri terbabit hanya boleh digantung tugas oleh suruhanjaya perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, penjawat awam juga boleh digantung tugasnya jika disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah jenayah.

‘‘Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Penasihat Undang-undang dan Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik termasuk menggantung kerja dan memecat hanya boleh dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan berkenaan.

‘‘Dalam keadaan masa kini memandangkan alasan-alasan bagi pergantungan kerja tidak berbangkit, maka kedua-dua pegawai awam itu tidak boleh digantung kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Seramai 670 kakitangan awam di JPM menerima anugerah perkhidmatan cemerlang masing-masing.

Mohammad Nizar yang telah disahkan sebagai Menteri Besar Perak oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) semalam telah bertindak mengantung tugas Ahmad Kamal dan Abdul Rahman serta merta.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan sementara keputusan tersebut.

Mohd. Sidek memberitahu, Penasihat Undang-Undang Negeri tertakluk dalam bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan manakala Setiausaha Kerajaan Negeri pula di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

‘‘Sehubungan itu, sebagai penjawat awam, kita perlu mengikut dan melaksanakan peraturan yang telah ditetapkan.

‘‘Saya akan maklumkan perkara ini kepada kedua-dua penjawat awam itu hari ini,” katanya.

Sementara itu ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata, mutu perkhidmatan seseorang penjawat awam bergantung kepada sejauh manakah ia diterima rakyat.

No comments: