Wednesday, May 13, 2009

Suhakam mahu rakyat pilih

'Berikan kuasa kepada rakyat semula'

KUALA LUMPUR 12 Mei - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpendapat krisis politik di Perak tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa diberikan semula kepada rakyat.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, andaian tersebut berdasarkan beberapa kejadian yang berlaku selepas pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar diikuti kejadian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei lalu.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi yang memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah semalam juga menyukarkan proses pemulihan krisis politik di Perak.

Sehubungan itu beliau memetik kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh yang menyifatkan keadaan politik di Perak telah sampai ke satu tahap yang memerlukan rakyat membuat pemilihan semula.

"Artikel 21 Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia 1948 memperuntukkan bahawa kehendak rakyat akan dijadikan asas kuasa kepada kerajaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari dan sesi perjumpaan Suhakam Bersama Media 2009 di sini hari ini.

Abu Talib menambah, mungkin masanya telah tiba untuk rakyat Perak diberikan peluang melaksanakan hak memilih semula kerajaan yang menjadi asas kepada hak asasi manusia.

Menurut beliau, hanya kerajaan yang stabil dapat memastikan hak untuk menikmati keharmonian dan mencapai kemajuan boleh dicapai.

Beliau juga berharap kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedia mendengar perbezaan pandangan di samping bersikap toleransi dan menerima demonstrasi awam yang menentang dasar dan tindakan tidak popular.



Suhakam mahu rakyat pilih


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpendapat krisis politik di Perak mungkin tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Osman.

"Hanya sebuah kerajaan yang stabil mampu memastikan hak keamanan dan pembangunan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Artikel 21 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 memperuntukkan bahawa kesungguhan seseorang hendaklah menjadi asas kuasa kerajaan.

"Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, kejadian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei dan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, adalah amat sukar isu Perak ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat.

"Tindakan mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak," katanya. – Bernama

No comments: