Tuesday, May 12, 2009

Zambry akur keputusan mahkamah

Zambry akur keputusan mahkamah

Oleh Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amarudin, Norhashimah Mohd Radzali, Mohamed Farid Noh, Suhana Roslan, Siti Nurazlinee Azmi, Nurhayati Abllah dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my



Bekas MB ambil tindakan susulan ikut undang-undang

IPOH: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan hati dan fikiran terbuka serta meminta semua penyokong Barisan Nasional (BN) dan rakyat Perak bertenang menghadapi situasi berkenaan.

Zambry berkata, beliau dan enam Exconya akan mengambil tindakan mengikut sistem perundangan berhubung keputusan mahkamah itu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ringkas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui Setiausaha Akhbarnya, Nizamuddin Mat Isa.

SMS berkenaan berbunyi, Dr Zambry menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka.

"Saya serta rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang dan saya menyeru semua penyokong BN serta rakyat Perak supaya bertenang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, berkata sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang arahan dan maklumat lanjut daripada Zambry.

"Sehingga jam 3.30 petang tadi, saya hanya dimaklumkan melalui panggilan telefon. Zambry memberitahu beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis sambutan Ulang Tahun Umno Ke-63," katanya.

Ketika ditanya berhubung keputusan mahkamah berkenaan, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk mengikut perintah mahkamah untuk keluar daripada Bangunan SUK bila-bila masa.

"Kita ikut perintah mahkamah, kalau mahkamah suruh keluar, kita akan keluar. Kita taat dengan perintah mahkamah dan kita tidak ada sebarang masalah," katanya.





Harap semua bertenang - Zambry

IPOH 11 Mei - ''Saya terima keputusan mahkamah itu dengan hati dan fikiran yang terbuka," kata Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Bagaimanapun kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu, beliau dan rakan-rakan lain dalam BN akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

''Saya menyeru semua penyokong BN dan rakyat negeri Perak supaya bertenang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memutuskan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 13 Februari lalu, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac tahun lalu apabila pakatan pembangkang memenangi 31 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-12, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan Menteri Besar.

Bagaimanapun pada 6 Februari lalu Zambry, 47, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah selepas beberapa wakil rakyat pakatan pembangkang bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

No comments: