Tuesday, May 12, 2009

6 jentera FRU dikerah kawal Bangunan Perak Darul Ridzuan

6 jentera FRU dikerah kawal Bangunan Perak Darul Ridzuan



ANGGOTA Pasukan Simpanan Persekutuan meletakkan penghalang ketika
berkawal di pintu masuk Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak
Darul Ridzuan, semalam.


IPOH: Polis mengerah enam jentera Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) termasuk trak penyembur air dan berpuluh anggota untuk mengawal Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini bermula jam 5.30 petang semalam, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan mulai semalam bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku.

Arahan berkuat kuasa serta-merta itu dikeluarkan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, yang turut memberi amaran akan mengambil tindakan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan ini.

"Polis diarah berada di kawasan bangunan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku", katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

"Saya sudah mengarahkan anggota polis supaya mengadakan pemantauan dan kawalan di seluruh kawasan Bangunan SUK serta kawasan berdekatan bagi memastikan ketenteraman terkawal," katanya.

Tinjauan Berita Harian di luar bangunan itu mendapati keadaan terkawal dan sehingga jam 7 malam tadi, tiada kejadian tidak diingini berlaku selain keadaan trafik berjalan dengan lancar.

Terdahulu kira-kira jam 3 petang, lebih 30 wartawan dan jurugambar berkumpul di pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan kenyataan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, selepas menunggu hampir sejam, pengamal media diarahkan bersurai selepas diberitahu Zambry sudah berlepas ke Kuala Lumpur kerana menghadiri sambutan Ulang Tahun Umno Ke-63.

Turut kelihatan, beberapa kakitangan SUK yang keluar masuk pejabat Menteri Besar membawa kotak.

Sementara itu, tinjauan di kawasan persekitaran Istana Kinta di Jalan Dr Nazrin Shah di sini petang semalam didapati lengang walaupun ada khabar angin Mohammad Nizar akan ke situ untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pegawai Khas Mohammad Nizar, Amran Harun, ketika dihubungi, mengesahkan Mohammad Nizar masih berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri beberapa program.

"Beliau bagaimanapun akan menghadiri jemputan majlis pengurniaan pingat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pagi esok (ini) tetapi itu tidak bermaksud beliau akan mengadap Tuanku (hari ini) untuk minta bubar DUN," katanya.

No comments: