BN akan kemuka rayuan: Najib
Oleh Johari Ibrahim dan Saufi Hamzah
bhnews@bharian.com.my
PM minta rakyat Perak bertenang, tak teruja keputusan Nizar diisytihar MB
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Perak bertenang dan tidak terlalu teruja berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu kerana yakin mempunyai kes dan asas yang kukuh.
"Kita berharap akan mendapat tarikh awal untuk merayu dan saya tidak boleh bercakap terlalu banyak kerana ia masih dalam skop mahkamah.
"(Bagaimanapun), kita merasakan mempunyai kes dan asas yang kukuh, jadi kita akan merayu terhadap keputusan itu, mungkin esok (hari ini)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat dengan ahli Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di sini, semalam.
Peguam Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Sunil Abraham ketika dihubungi mengesahkan pihaknya akan memfailkan rayuan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Mengenai permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu pula, Sunil berkata, pihaknya masih menunggu arahan Zambry.
Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan bagi penangguhan pelaksanaan keputusan itu yang dibuat secara lisan dan meminta peguam Zambry mengemukakan hujahan berkenaan secara bertulis.
Najib ketika ditanya sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan dibubarkan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan berikutan perkembangan terbaru itu, pula berkata: "Saya tidak boleh nyatakan itu kerana ia adalah pertimbangan mutlak Sultan Perak."
Perdana Menteri juga berkata, beliau tidak ada cadangan untuk menghadap Sultan Perak dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.
BN kemuka rayuan – PM
PUTRAJAYA 11 Mei – Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia akan dilakukan segera, kemungkinan esok.
Najib bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan itu kerana ia melibatkan skop mahkamah dan perundangan.
‘‘Langkah pertama kita (BN) adalah membuat rayuan terhadap keputusan itu dan ia akan dilakukan segera, kemungkinan esok.
‘‘Saya cuma mahu nyatakan bahawa kita mempunyai kes yang kukuh, justeru, kita akan mengemukakan rayuan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota-anggota Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di pejabatnya di sini, hari ini.
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Mohammad Nizar ialah Menteri Besar Perak yang sah.
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong dan undi tidak percaya hanya boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada masa yang sama, Najib menasihatkan rakyat Perak supaya bertenang dan menjalani kehidupan seperti biasa.
‘‘Bertenang, jangan terlalu ghairah atau gusar. Kita akan selesaikan perkara ini,” ujarnya.
Ditanya sama ada perlu dibubarkan DUN Perak, Najib memberitahu, ia terpulang kepada budi bicara Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Beliau juga memaklumkan tiada sebarang tarikh ditetapkan untuknya menghadap Sultan Perak memandangkan beliau boleh berbuat demikian pada bila-bila masa jika diperkenankan.
BN Perak wajar buat rayuan
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 11 Mei - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak wajar membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari pakatan pembangkang adalah Menteri Besar yang sah.
Pakar perlembagaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kes yang diputuskan itu menampakkan mahkamah tidak memberi landasan cukup kepada kuasa raja untuk menentukan siapa yang berhak menyandang Menteri Besar di bawah Perkara 16 (4) Perlembagaan Negeri Perak.
''Bagaimanapun Sultan masih ada kuasa residual (kuasa khusus yang berpanjangan) untuk sama ada bersetuju atau sebaliknya membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak.
''Tidak semestinya keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi muktamad. Kalau Sultan mengkehendaki DUN dibubar, baginda boleh berbuat demikian tetapi kalau tidak perkenan, maka baginda mesti bersama dalam sistem undang-undang (rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong dan undi tak percaya hanya boleh dibuat di DUN.
Menurut Rais, kes Perak yang diputuskan mahkamah hari ini mempunyai stigma bahawa sistem keadilan telah memberi keputusan awalan.
''Justeru, kerajaan Perak sedia ada perlu membuat rayuan untuk mengelak pertikaian di kemudian hari," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment