Pejabat MB, Exco akan dikosongkan
IPOH 11 Mei - Pejabat Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri akan dikosongkan secepat mungkin selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, pihaknya tidak ada masalah berbuat demikian kerana akur dengan keputusan mahkamah itu.
''Walaupun tidak ada sebarang arahan rasmi untuk mengosongkan pejabat namun kita akur dengan keputusan mahkamah dan tidak akan menentang.
''Kita semua ikut perintah, kita orang yang jenis taat pada perintah mahkamah dan tak ada masalah untuk mengosongkan pejabat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim hari ini telah memutuskan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Keputusan itu dibuat setelah mendapati jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong dan undi tidak percaya hanya boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perak, Nizamuddin Mat Isa berkata, semua pihak dalam kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan mahkamah tersebut.
Justeru, katanya, semua yang terlibat akan berkemas secepat mungkin untuk meninggalkan pejabat masing-masing.
Dalam pada itu, Setiausaha Sulit kepada Zambry Abdul Kadir, Khairul Azwan Harun pula meminta kerjasama media supaya meninggalkan pejabat Menteri Besar kerana tidak ada apa yang luar biasa berlaku di situ.
Katanya, segala aktiviti masih berjalan seperti biasa dan sepatutnya pihak wartawan tidak berada di pejabat Menteri Besar yang pada waktu itu perlu ditutup kerana sudah pukul 5 petang.
Tinjauan Utusan Malaysia selepas itu pula mendapati, lapan buah trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mula tiba di pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 5.40 petang.
Ketibaan pasukan keselamatan itu adalah semata-mata untuk memastikan ketenteraman awam tidak terjejas dan menghalang mana-mana pihak yang cuba membuat kekecohan.
Sehingga pukul 6.50 petang ini, masih belum kelihatan mana-mana pihak berhimpun beramai-ramai bagi meraikan kemenangan Mohammad Nizar itu.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment