Tuesday, May 12, 2009

Mohammad Nizar sah MB Perak

Nizar diisytihar MB

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my


MOHAMMAD Nizar dikerumuni wartawan dan penyokongnya di Kompleks
Mahkamah Jalan Duta, semalam



  • Pakatan Rakyat mahu bubar DUN Perak
  • BN kemuka rayuan hari ini: Najib


  • KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini semalam mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

    Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dalam keputusannya berkata, jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) kerana Mohammad Nizar tidak pernah kehilangan kepercayaan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Dalam penghakiman yang dibaca secara lisan selama lebih sejam bermula jam 2.30 petang, hakim itu berkata, undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar hanya boleh dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sidang DUN.

    "Dalam kes ini, tidak dapat dipertikaikan fakta bahawa tiada undi tidak percaya dibuat Adun terhadap pemohon (Mohammad Nizar) di persidangan DUN.

    "Malah, beliau menghadap Sultan untuk memohon pembubaran DUN bukannya kerana sudah kehilangan kepercayaan majoriti DUN tetapi sebaliknya memohon pembubaran itu bagi menyelesaikan kebuntuan dalam DUN dan hal pentadbiran Perak," katanya.

    Mengulas keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan hari ini kerana yakin mempunyai kes dan asas yang kukuh.

    Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menerima keputusan itu dengan hati dan fikiran terbuka, menegaskan beliau serta enam Ahli Exconya akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

    Mohammad Nizar pula mengumumkan akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya negeri dapat diadakan secepat mungkin untuk menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

    Kemelut kepemimpinan di Perak berlarutan sejak lebih 100 hari selepas Zambry dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lalu apabila kerajaan Pakatan Rakyat kehilangan kepercayaan majoriti di DUN berikutan tiga wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong BN.

    Abdul Aziz berkata, walaupun BN sudah memenangi 31 kerusi DUN, ia tidak memohon supaya sidang DUN diadakan bagi melakukan undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar.

    "Berdasarkan prinsip demokrasi dan undang-undang, undi tidak percaya perlu dilakukan di sidang DUN dan hanya dengan cara itu seseorang Menteri Besar boleh digugurkan atau diminta meletakkan jawatannya," katanya.

    Abdul Aziz berkata, Menteri Besar tidak memegang jawatan itu berdasarkan kepada kehendak Sultan.

    "Bagaimanapun mahkamah berpendapat, kuasa Sultan untuk meminta Menteri Besar meletakkan jawatan adalah tidak mengikut peruntukan dalam Perkara 16(6) UTKP kerana artikel itu adalah sangat jelas dan bukannya tidak nyata.

    "Sungguhpun Sultan mempunyai kuasa prerogatif dalam melantik Menteri besar, tetapi sebaik dilantik Menteri Besar hanya perlu menjawab kepada DUN dan bukannya orang lain," katanya.

    Abdul Aziz juga tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah dalam kes itu dan Zambry, bahawa hanya ada dua keadaan yang membolehkan Menteri Besar memohon pembubaran DUN.

    "Abdul Gani menghujahkan bahawa Menteri Besar hanya boleh memohon pembubaran DUN apabila tempoh perkhidmatan DUN berakhir mengikut Perkara 36(2) UTKP atau jika kehilangan kepercayaan majoriti.

    "Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan itu kerana mengikut Perkara 36 UTKP, terdapat banyak keadaan yang membolehkan Menteri besar memohon pembubaran DUN daripada Sultan dan ia adalah bergantung kepadanya untuk menentukan bilakah waktu sesuai untuk membuat permohonan itu," katanya.

    Abdul Aziz turut tidak bersetuju hujahan Abdul Gani dan Zambry sebelum ini yang menyatakan Mohammad Nizar perlu meletak jawatan walaupun beliau enggan berbuat demikian.

    Katanya, Abdul Gani dan Zambry berhujah menyatakan perkataan 'perlu meletak jawatan' dalam Perkara 16 (6) UTKP bermaksud 'mandatori' serta Mohammad Nizar perlu meletak jawatan atau jawatannya itu akan dianggap kosong.

    "Bagaimana jika Menteri Besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun bermaksud 'mandatori', peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai Menteri Besar perlu meletakkan jawatannya," katanya sambil mencadangkan supaya artikel itu dipinda bagi memenuhi lacuna (kekosongan) dalam Perkara 16(6) UTKP.

    Mengenai afidavit yang diikrarkan Penasihat Undang-Undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz berkata, penasihat undang-undang itu adalah saksi yang tidak neutral dan berat sebelah.

    Abdul Aziz berkata, Ahmad Kamal sendiri mengakui beliau diarahkan peguam Zambry untuk mengikrarkan afidavit itu dan perkataan 'diarahkan' mempunyai erti yang mendalam.

    "Disebabkan itu mahkamah berpendapat beliau (Ahmad Kamal) adalah saksi yang tidak neutral dan berat sebelah serta keterangannya adalah demi memenuhi yang arahan diterimanya," katanya.

    Abdul Aziz berkata, mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan untuk tidak membenarkan pembubaran DUN kerana perkara itu tidak boleh diadili.

    "Sultan mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak memperkenankan permintaan untuk membubarkan DUN," katanya.

    Sementara itu, peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry membuat permohonan secara lisan bagi memohon penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan Abdul Aziz itu, sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

    Abdul Aziz bagaimanapun menolak permohonan itu dan meminta Cecil membuat permohonan secara bertulis berserta ikatan autoriti.






    Mohammad Nizar sah MB Perak

    Oleh AMIRUDDIN HARUN dan SUWARNI MOKHTAR
    pengarang@utusan.com.my


    KUALA LUMPUR 11 Mei - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

    Keputusan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim itu sekali gus menamatkan krisis politik antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) yang telah berlarutan sejak tiga bulan lalu.

    Bagaimanapun keputusan tersebut masih belum muktamad kerana Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Dalam penghakimannya hari ini, Hakim Abdul Aziz turut menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan.

    Beliau menolak permohonan itu setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu tetapi beliau menyatakan peguam itu boleh memfailkan permohonan penangguhan itu kemudian secara bertulis.

    Zambry dipercayai akan memfailkan rayuannya esok sementara seorang lagi peguam yang mewakilinya memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapat arahan lanjut berhubung permohonan penangguhan tersebut.

    Terdahulu, dalam penghakiman lisannya, Hakim Abdul Aziz berkata, jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong kerana usul undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar tidak dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Justeru, tegas beliau, Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu tidak boleh dikatakan hilang kepercayaan majoriti anggota DUN mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP).

    ''Berdasarkan amalan demokrasi, isu hilang kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Mohammad Nizar). Melalui cara ini sahaja Menteri Besar boleh disingkirkan,'' kata Hakim Abdul Aziz.

    Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar, 52, memohon mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang DUN.

    Mohammad Nizar yang dipilih sebagai Menteri Besar selepas pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 di negeri itu setahun lalu turut mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

    Hakim Abdul Aziz yang membacakan penghakimannya selama satu jam 10 minit turut berkata, jika sememangnya terdapat undi tidak percaya kepada Mohammad Nizar, mengapa BN tidak mengadakan persidangan khas DUN untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap pemimpin itu.

    ''Fakta yang tidak dinafikan ialah tidak terdapat undi tidak percaya terhadap pemohon sebelum beliau menemui Sultan kerana beliau tidak pernah disingkirkan melalui cara tersebut,'' ujar beliau.

    Di samping itu, katanya, mengikut Perkara 16(6) UTKP, Sultan Perak tidak mempunyai kuasa untuk memecat Mohammad Nizar daripada jawatan Menteri Besar, meskipun Baginda mempunyai kuasa melantik.

    ''Sultan Perak juga tidak boleh menyingkir seseorang Menteri Besar hanya kerana pemegang jawatan itu tidak mendapat perkenan Baginda,'' katanya.

    Sebaliknya, menurut Hakim Abdul Aziz, pemecatan Menteri Besar hanya boleh dilakukan oleh anggota-anggota DUN yang telah dipilih oleh rakyat.

    Justeru, beliau menolak hujahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah dalam permohonan itu bahawa hanya dalam dua keadaan DUN boleh dibubarkan iaitu ketika Menteri Besar hilang sokongan majoriti anggota DUN dan apabila hampir tamat tempoh Dewan.

    ''Saya tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara kerana mengikut Perkara 36 UTKP, tiada keadaan yang terhad bagi Menteri Besar untuk memohon pembubaran daripada sultan dan terserah kepada Menteri Besar untuk memilih masanya untuk menentukan pembubaran,'' kata Hakim Abdul Aziz.

    Beliau turut tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara dan Zambry selaku responden bahawa Mohammad Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar mengikut Perkara 16(6) UTKP.

    Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz turut menyentuh afidavit Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid serta keterangannya ketika dipanggil pada prosiding pemeriksaan balas.

    (Ahmad Kamal memberi keterangan selepas Mohammad Nizar mempersoalkan afidavit Penasihat Undang-Undang Negeri itu yang dikatakan tidak konsisten)

    Menurut hakim tersebut, Ahmad Kamal sebagai seorang pegawai kanan kerajaan bukanlah seorang saksi yang berkecuali dan adil apatah lagi dalam keterangannya beliau mengakui telah diarahkan untuk mengikrarkan afidavit sokongan terhadap Zambry setelah diarahkan oleh peguam Zambry.

    ''Ahmad Kamal sendiri memilih perkataan 'diarahkan' oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Dia boleh menggunakan perkataan lain seperti 'diminta' atau 'beliau menawarkan diri'. Perkataan (diarahkan) yang digunakan amat keras,'' katanya.

    Sehubungan dengan itu, pada hemat beliau, keterangan Ahmad Kamal diwarnai dengan arahan yang telah diterima oleh saksi tersebut.

    Mengenai penemuan Mohammad Nizar dengan Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Februari lalu, Hakim Abdul Aziz berkata, beliau memilih untuk mempercayai versi Mohammad Nizar dan bukannya versi Ahmad Kamal.

    Mohammad Nizar dalam afidavitnya menyatakan bahawa beliau tidak memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN disebabkan beliau tidak mengalami kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

    No comments: