Tuesday, May 12, 2009

Nizar pohon restu Sultan bubar DUN

Nizar pohon restu Sultan bubar DUN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah hari ini menyatakan beliau akan memohon restu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah secepat mungkin bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Mohammad Nizar, beliau akan mendapatkan perkenan untuk menemui Sultan Perak untuk tujuan tersebut sebaik sahaja beliau tiba di Ipoh, Perak selepas selesai pengumuman keputusan mengenai kes tersebut.

''Secepat yang mungkin apabila saya tiba di Ipoh saya akan mendapatkan perkenan untuk menemui Tuanku (Sultan Perak). Lepas ini (keputusan mahkamah) saya akan terus balik,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai keputusan itu diumumkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas).

Beliau berkata, pembubaran DUN itu bertujuan menyerahkan semula kepada rakyat hak mereka untuk menentukan kerajaan yang betul dan sah.

Ditanya sama ada Sultan Perak akan memperkenankan permintaannya untuk pembubaran DUN, katanya, ia adalah prerogatif Sultan Perak.

''Tetapi berdasarkan keputusan hari ini, kami mahu mempersembahkannya kepada Tuanku agar hak rakyat disokong dengan sewajarnya,'' katanya.

Selain menemui Sultan Perak, Mohammad Nizar yang kelihatan gembira dengan keputusan itu berkata, beliau juga akan mengadakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dalam masa yang terdekat.

Menurutnya, semua keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta barisan Exco beliau semasa menerajui pucuk pimpinan kerajaan negeri Perak akan disemak semula.

''Khidmat Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid pula akan digantung serta-merta,'' katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam yang mewakilinya.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Zambry menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dengan menyerahkan kembali tanggungjawab dan tugas Menteri Besar kepada pakatan pembangkang.

Ditanya mengenai perasaannya dalam tempoh tiga bulan ini, katanya, sudah tentu memeritkan tetapi beliau dapat mengharunginya demi rakyat.

No comments: