Tuesday, May 12, 2009

Semua pihak perlu akur keputusan mahkamah

Semua pihak perlu akur keputusan mahkamah


PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semua pihak perlu akur dan mematuhi keputusan mahkamah berhubung kedudukan siapa Menteri Besar di Perak.

"Ia keputusan mahkamah... apa yang diputuskan, kadangkala kita menang dan kadangkala kalah. Ini juga sebahagian daripada proses kematangan politik yang kita lalui.

"Kini banyak bergantung kepada apa yang kita buat lepas ini, jika anda terima keputusan mahkamah dan biarkan mahkamah buat keputusan, kena terima ini, sama ada ia tamparan kepada BN atau tidak, ia biasa dalam proses perbicaraan," katanya pada sidang media selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, masih ada ruang membuat merayu bagi pe-nangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah itu.

Mengenai mahkamah sama juga menolak permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan, beliau berkata:

"Saya tidak tahu, ia mungkin permohonan lisan, tetapi tidak menghalang beliau (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) buat permohonan rasmi dan perlu difailkan di mahkamah esok (hari ini). Ini adalah proses dan prosedur asas serta amat jelas... tiada sesiapa melebihi undang-undang."

Pada masa sama beliau memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan tindakan yang melanggar undang-undang dan menjejaskan keselamatan awam. Ditanya sama ada polis akan mengetatkan kawalan di pintu masuk bangunan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, beliau berkata ia akan dilakukan jika perlu bagi menjamin keselamatan awam.

"Dalam konteks keselamatan dan kestabilan, saya minta semua pihak khususnya di Perak jangan lakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keamanan serta kedudukan rakyat di Perak," katanya.






UMNO konsisten patuh kepada undang-undang

PUTRAJAYA 11 Mei - UMNO sentiasa konsisten bahawa semua pihak harus akur dengan sebarang keputusan mahkamah termasuk membabitkan pengesahan status Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan kes itu hari ini perlu dipatuhi dan tidak ada sesiapa yang boleh meletakkan dirinya mengatasi undang-undang negara.

''Dalam keadaan mahkamah sudah turunkan keputusan, semua pihak perlu akur kepada apa yang telah diputuskan.

''Saya harap dalam konteks keselamatan dan kestabilan, semua pihak terutama di Perak tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keamanan rakyat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Mohammad Nizar tidak pernah meletak jawatan selain itu tiada sebarang usul undi tidak percaya dibawa terhadap beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hishammudin berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai pembubaran DUN yang diusahakan oleh Mohammad Nizar memandangkan mahkamah hanya memutuskan soal kedudukan Menteri Besar.

''Kita serahkan kepada apa yang telah diputuskan, pada sesuatu masa kita memenangi sesuatu kes dan ada kalanya kita kalah.

''Ini adalah sebahagian daripada proses mematangkan demokrasi yang kita lalui, malah banyak lagi perkara yang akan kita hadapi selepas ini," katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan, kementeriannya akan mengarahkan kawalan keselamatan di Perak dipertingkatkan sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

''Keputusan saya adalah bersandarkan kepada perkara pokok iaitu untuk memastikan keamanan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, beliau akan bertemu dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan ketua-ketua UMNO Bahagian dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam masa terdekat dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, perjumpaan yang akan diadakan di ibu negara itu adalah susulan pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said hari ini.

''Saya telah menghadap Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin) dan mendapat mandat daripada Perdana Menteri.

''Diharap dengan berjumpa kedua-dua belah pihak, ia dapat membantu mengukuhkan parti dan merapatkan barisan kita," katanya.

No comments: