Tuesday, May 12, 2009

Nizar, Exco mahu mula tugas secepat mungkin

Nizar, Exco mahu mula tugas secepat mungkin


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan empat perkara utama yang akan dilakukannya sebaik saja Mahkamah Tinggi di sini, semalam memutuskan beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Pertama katanya, akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya negeri dapat diadakan secepat mungkin.

Meminta Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghormati keputusan mahkamah dengan menyerahkan kembali tugas sebagai Menteri Besar kepada Pakatan Rakyat (PR) dengan cara kehormat.



Nizar juga akan menggantung Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid serta- merta kerana tidak pernah memberikan kerjasama yang baik bagi menjaga kepentingan rakyat Perak sehingga menyebabkan negeri itu mengalami krisis politik.

Terakhir, memanggil mesyuarat Exco kerajaan negeri secepat mungkin, supaya kerajaan Pakatan Rakyat dapat menjalankan tanggungjawab mereka untuk rakyat.

“Semua keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry selaku MB (Menteri Besar) sejak Februari lalu akan dikaji semula kecuali keputusan untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu yang berakhir dengan kekecohan,” katanya pada sidang media di pekarangan mahkamah sejurus selepas keputusan itu dibuat pada jam 4.27 petang.

“Keputusan mahkamah menunjukkan wujud keadilan dalam sistem perundangan negara dan saya menerimanya dengan penuh rasa syukur. Saya juga akan meneruskan kembali tugas sebagai Menteri Besar untuk rakyat,” katanya.

Beliau yang dikelilingi kira-kira 100 penyokong dan Ahli Parlimen pembangkang di ruang legar lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta juga berkata, beliau dan Exconya akan memulakan tugas secepat mungkin.

No comments: