Tuesday, May 12, 2009

'Keputusan berbeza tafsiran perundangan Sultan'

'Keputusan berbeza tafsiran perundangan Sultan'


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah luar biasa dan boleh menjerumuskan Perak dalam krisis perlembagaan yang berterusan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata keputusan itu juga di luar dugaan berikutan andaian sebelum ini Datuk Dr Zambry Abdul Kadir akan disahkan sebagai Menteri Besar.

"Keputusan Mahkamah Tinggi mewujudkan krisis perlembagaan berterusan apabila tafsiran perundangan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mahkamah Tinggi berbeza dan ini menimbulkan suasana luar biasa kepada perlembagaan negeri.

"Walaupun Nizar diumumkan Menteri Besar Perak yang sah, perkara ini belum berakhir kerana sudah pasti pihak Zambry akan membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan.

"Sekalipun, Mahkamah Rayuan berpihak kepada Nizar nanti, persoalannya bagaimana beliau mampu mentadbir Perak dengan berkesan berikutan kekurangan sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), apatah lagi isu dewan berkenaan yang mempunyai dua Speaker iaitu V Sivakumar dan Datuk R Ganesan, akan merumitkan lagi krisis perlembagaan negeri berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Nizammuddin Sulaiman, berkata Perak juga berhadapan kemungkinan diadakan pilihan raya baru bagi menentukan pihak yang layak mentadbir negeri berkenaan.

"Bagaimanapun, kemungkinan pilihan raya baru itu hanya berlaku jika Zambry tidak mencabar keputusan Mahkamah Tinggi dan Sultan Perak pula memperkenankan langkah Nizar membubarkan DUN," katanya.

No comments: