Tuesday, May 12, 2009

Mahkamah kecoh kerana perbicaraan Mohammad Nizar

Mahkamah kecoh kerana perbicaraan Mohammad Nizar



MOHAMMAD Nizar Jamaluddin melambai ke arah penyokongnya selepas mendapat keputusan masih sah sebagai Menteri Besar Perak oleh Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ



KUALA LUMPUR 11 Mei – Belum menang kecoh, sudah menang lagi kecoh. Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini sejak awal pagi meskipun keputusan permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Ir.

Mohammad Nizar Jamaluddin hanya diumumkan pada pukul 2.30 petang.

Pada waktu pagi, kesemua kenderaan yang ingin memasuki pekarangan mahkamah diperiksa dengan teliti dan ada pemandu yang disoal tujuan kehadiran mereka sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di hadapan kompleks tersebut.

Menjelang tengah hari, pemeriksaan menjadi lebih ketat apabila orang ramai dan petugas media yang ingin ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang terletak di sayap kiri tingkat empat kompleks itu perlu mangambil pas khas yang disediakan oleh pihak polis di lobi utama.

Kemasukan ke dewan mahkamah juga dihadkan dengan hanya seorang pemberita daripada setiap agensi media tempatan mahupun media asing dibenarkan membuat liputan keputusan kes tersebut.

Jurugambar dan jurukamera pula tidak dibenarkan menghampiri langsung kawasan berhampiran dewan mahkamah Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan hanya boleh berada di kawasan lobi tingkat empat dan lobi utama.

Menurut seorang anggota polis yang bertugas, lebih 60 anggota polis termasuk yang berpakaian preman daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dikerahkan ke mahkamah bagi menjaga ketenteraman.

Sebaik sahaja keputusan yang berpihak kepada Mohammad Nizar tersebar di kalangan penyokongnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan mereka yang berada di dalam dewan mahkamah, sorakan demi sorakan dapat didengar.

Keadaan menjadi bertambah kecoh dan kelam kabut apabila Mohammad Nizar dan beberapa ahli Parlimen pembangkang turun ke lobi utama kompleks tersebut yang dipenuhi kira-kira 200 orang penyokong pakatan pembangkang yang bersilih ganti bersorak ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Bubar DUN.’

Petugas-petugas media terpaksa bertolak-tolak sesama sendiri dan penyokong serta pengawal Mohammad Nizar sehingga ada yang terpijak ketika cuba menghampiri pemimpin tersebut yang ingin menaiki tangga lobi utama untuk memberikan ucapan.

Sebaik sahaja selesai memberi ucapan, Mohammad Nizar dan isterinya dibawa masuk ke dalam kereta dan berlalu meninggalkan kawasan tersebut.

No comments: