Wednesday, May 20, 2009

PKR belum pasti menang selesa

PKR belum pasti menang selesa

PETALING JAYA 19 Mei - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berada dalam kedudukan selesa untuk menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti walaupun Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, parti itu tidak mungkin menang dengan mudah berikutan terdapat kemungkinan ramai calon Bebas yang akan bertanding bagi mencuba nasib masing-masing.

''Kita mengalu-alukan keputusan BN ini dan adalah lebih baik jika tiada sesiapa melawan calon PKR kerana kita boleh menjimatkan kos polis mengawal keselamatan yang melibatkan lebih 70 peratus perbelanjaan pilihan raya kecil.

''Bagaimanapun, saya menjangkakan perkara ini tidak akan berlaku kerana wujud kemungkinan besar lebih ramai calon Bebas yang akan mengambil peluang untuk mencuba nasib mereka,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rangkaian Media dan Komunikasi Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor mengulas keputusan Dewan Tertinggi BN semalam yang memutuskan tidak meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil berkenaan 31 Mei ini kerana 'ia hanyalah satu permainan politik pembangkang.'

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan itu berkata, kekosongan berkenaan wujud disebabkan PKR ingin menyelesaikan masalah dalaman mereka dan ia tiada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan.

Pilihan Raya Kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 16 April lalu atas alasan mahu menyambung pelajaran.

PKR telah mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, sebagai calon parti itu.

Menurut Abdul Khalid, pertandingan ketika pilihan raya kecil itu amat penting kerana ia selaras dengan proses demokrasi yang memberikan hak kepada pengundi memilih individu yang difikirkan paling layak untuk mewakili mereka di peringkat DUN.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata, beliau tidak akan terikat untuk menyerahkan kepada wakil rakyat Pas portfolio mengenai belia dan sukan sekiranya pihaknya membuat keputusan mewujudkan Exco baru Selangor bagi menjaga perkara itu.

''Bagi saya jawatan Exco ini bukan sahaja untuk Pas kerana ia juga boleh untuk DAP dan PKR. Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu politik antara parti," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia dan Sukan Selangor.

Semalam, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohd. Sany Hamzan mendesak wakil rakyat Pas dilantik sebagai Exco belia dan sukan negeri setelah Abdul Khalid didakwa gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.

No comments: