Wednesday, May 20, 2009

Mohd. Saberi tanding calon Bebas

Mohd. Saberi tanding calon Bebas


Mohd. Saberi Othman


BUKIT MERTAJAM 19 Mei - Seorang ahli perniagaan, Mohd. Saberi Othman menjadi individu kedua yang menawarkan diri sebagai calon Bebas untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

Mohd. Saberi, 49, yang juga anak jati Kampung Kubang Semang di sini berkata, beliau terpanggil untuk bertanding kerana mahu memperjuangkan nasib penduduk di kawasan itu tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Beliau yang juga bekas tentera memberitahu, hasratnya itu juga adalah atas sokongan penduduk tempatan yang mahu beliau menjadi wakil rakyat mereka.

"Saya merupakan anak jati di kawasan ini dan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya menawarkan khidmat kepada penduduk tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

"Pada masa sama, saya mahu membantu masyarakat meningkatkan taraf ekonomi kerana saya lihat masih ramai penduduk miskin yang memerlukan pembelaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menjawab soalan sama ada beliau ditaja oleh mana-mana parti politik untuk bertanding di kawasan itu, Mohd. Saberi berkata: ''Saya adalah calon Bebas yang bebas daripada mana-mana parti politik, itu saya nak bagi jelas."

Malah katanya, beliau dan penyokong sudah membuat tinjauan dan bertemu penduduk di Penanti sejak tiga minggu lalu dan mengambil keputusan untuk bertanding berdasarkan sokongan menggalakkan yang diterima.

Ditanya pandangannya mengenai keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini, Mohd. Saberi berkata, itu adalah hak BN dan ia memberi lebih peluang kepada calon Bebas sepertinya.

Menjawab pertanyaan mengenai peluangnya untuk menang di kubu kuat PKR yang sudah pun mengumumkan calonnya, bapa kepada enam orang anak itu berkata: "Cubalah dulu, tak cuba tak tau. Calon mereka bukan orang tempatan, saya orang tempatan."

No comments: