Wednesday, May 20, 2009

Aminah Abdullah - Gembira BN tak bertanding

Gembira BN tak bertanding


PULAU PINANG 19 Mei - Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah (gambar) gembira dengan langkah Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti.

Menurut Aminah, daripada awal lagi beliau mengharapkan BN bertindak demikian bagi membolehkannya mencabar calon PKR pada pilihan raya kecil tersebut.

''Saya harap berlaku senario satu lawan satu walaupun AKIM (Angkatan Keadilan Insan Malaysia) dan beberapa pihak lain dikatakan turut berminat,'' katanya di sini.

Beliau yang dikenali sebagai Kak Min di kalangan penyokongnya menegaskan, sebarang usaha memujuknya supaya jangan bertanding juga tidak akan dilayan kerana beliau tidak rela memberi kemenangan mudah kepada PKR.

Baru-baru ini, Aminah dilaporkan sebagai berkata, terdapat pemimpin PKR yang mahu beliau menarik diri dan sebagai ganjaran ditawarkan semula jawatan yang disandangnya sebelum ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau berharap para pengundi di Penanti membuat pilihan bijak ketika keluar mengundi pada 31 Mei ini.

''Tidak semestinya calon Bebas tidak boleh berkhidmat, saya sudah biasa berkhidmat kepada rakyat,'' katanya.

Menurut Aminah, segala persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu telah dibuat dan bilik gerakan akan dibuka beberapa hari lagi.

''Cara kami berkempen ialah berkunjung dari rumah ke rumah untuk menerangkan kepada pengundi prinsip perjuangan kami,'' katanya.

No comments: