Wednesday, May 20, 2009

Elak buat kenyataan sembarangan

Elak buat kenyataan sembarangan


Muhyiddin Yassin menunjukkan buku Bisik Warna/Whispers of Colours karya A.Samad Said ketika melancarkan Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia Institut Terjemahan Negara Malaysia di Putrajaya, semalam. Turut hadir Dr. Zulkurnain Awang, Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Mohd. Khair Ngadiron (kanan).


PUTRAJAYA 19 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh disalah tafsir berhubung kemelut politik di Perak.

Beliau berkata, sekiranya ada pihak mahu memberikan pandangan, ia sewajarnya bersifat peribadi.

Menurut beliau, mereka seharusnya membuat kenyataan yang mencerminkan perpaduan di antara parti komponen berbilang kaum seiring prinsip permuafakatan dalam BN.

"Setiap rakyat ada pandangan masing-masing tapi bila kita ada parti, sebaik mungkin jangan libatkan peribadi.

"Kita bersandar kepada keputusan majoriti, iaitu konsensus yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin BN," katanya kepada pemberita pada majlis pertemuan dengan para sasterawan negara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh; Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

Muhyiddin mengulas pendedahan oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai pertemuannya dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa baru-baru ini bagi membincangkan isu politik semasa di Perak.

Pada pertemuan tersebut, mereka dikatakan mencapai kata sepakat bahawa kemelut politik di negeri itu jika dibiarkan berpanjangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak terutamanya rakyat.

Muhyiddin percaya MCA tidak akan mengambil pendirian seperti Soi Lek.

Malah, beliau yakin MCA tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga selesai kes rayuan mengenai kemelut politik di negeri itu diputuskan oleh mahkamah.

No comments: