Wednesday, May 20, 2009

Merepek, saya tidak terlibat krisis dalaman PPP - Hisham

Merepek, saya tidak terlibat krisis dalaman PPP - Hisham

KUALA LUMPUR 19 Mei - Merepek dan tidak masuk akal.

Itu reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila ditanya mengenai dakwaan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas yang mengatakan beliau terlibat dalam krisis dalaman yang sedang melanda parti itu.

Sebelum ini, Hishammuddin yang merupakan bekas Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) juga dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah yang juga bekas Ketua Pemuda PPP.

''Merepek, jangan kaitkan hal dalaman partinya dengan orang lain, saya tidak masuk campur langsung.

''Kalau dahulu semasa Murugiah menjadi Ketua Pemuda, mungkin boleh cuba kaitkan tetapi sekarang tidak masuk akal langsung,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin menasihatkan pemimpin parti tersebut supaya jangan menyalahkan pihak lain dalam krisis mereka.

Sebaliknya, tegas beliau, parti itu sepatutnya menyelesaikan sendiri masalah mereka dengan penuh berhemah.

''BN dan parti komponen lain dah melihat jauh ke hadapan,'' katanya.

Kelmarin, Murugiah buat pertama kalinya sejak krisis antaranya dan Kayveas tercetus kira-kira dua minggu lalu membuat kenyataan mencabar jawatan Presiden PPP itu dicabar pada pemilihan parti berkenaan bulan hadapan.

''Kalau anak jantan beri saya bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti bulan hadapan, jangan main taktik kotor, biar ahli parti yang tentukan siapa yang layak,'' kata Murugiah.

Reaksi daripada cabaran itu, Kayveas mengatakan bahawa beliau langsung tidak gentar dengan cabaran Murugiah itu.

Beliau bagaimanapun mahu Murugiah terlebih dahulu berusaha masuk semula menjadi ahli parti berkenaan setelah dipecat oleh Lembaga Disiplin PPP kerana melanggar disiplin.

No comments: