Wednesday, May 20, 2009

MCA tak pernah beri persetujuan pertemuan Dr Chua, Husam

MCA tak pernah beri persetujuan pertemuan Dr Chua, Husam


KUALA LUMPUR: MCA tidak pernah memberi sebarang persetujuan kepada Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, kelmarin, kata Presiden parti itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Katanya, MCA tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat membincangkan sama ada Dr Chua harus atau pun tidak meneruskan pertemuan dengan Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Sebaliknya, Ong berkata, Dr Chua sekadar memberikan taklimat ringkas kepada beliau kelmarin mengenai perkara berkenaan.

“Namun, bagi parti secara keseluruhan, tidak pernah ada keputusan dibuat mengenai pertemuan itu. Kami hanya dimaklumkan, tetapi mesyuarat tidak pernah diadakan untuk membincangkan perkara berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Seminar Keusahawanan Melalui Francais Ketika Waktu Sukar Ekonomi di Wisma MCA di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Dr Chua mengadakan pertemuan dengan Husam bagi membincangkan kemelut politik di Perak yang berlarutan sejak lebih tiga bulan.

Dr Chua dipetik sebagai berkata, dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak bersetuju kemelut politik yang berpanjangan tidak memberi faedah kepada mana-mana pihak, terutama rakyat Perak.

Mengenai adakah tindakan Dr Chua itu tidak dibenarkan oleh parti, Ong bagaimanapun menegaskan, beliau tidak pernah menyatakan mana-mana individu atau pemimpin dalam MCA perlu mendapatkan kelulusan apabila ingin mengadakan pertemuan dengan sesiapa, malah berpendapat beliau tidak perlu bernada begitu autokratik.

Begitupun, beliau berkata, tidak timbul persoalan sama ada tindakan pemimpin parti itu mengadakan perjumpaan dengan pembangkang adalah `okey atau tidak’ dan juga sama ada kenyataan Dr Chua kepada Husam berhubung kemelut politik di Perak ialah pendirian parti, berikutan pertemuan itu tidak pernah dibincangkan oleh MCA.

Dalam konteks ini, katanya, pendirian MCA berhubung kemelut politik di Perak sudah dinyatakan dengan jelas, termasuk pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

No comments: