Azizan tidak tanding Timbalan, Naib Presiden Pas
ALOR SETAR 19 Mei - Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas atau Naib Presiden parti itu pada Muktamar Agung Pas Pusat Ke-55 Jun ini.
Beliau yang juga Menteri Besar menjelaskan, penarikan diri daripada bertanding jawatan berkenaan bertujuan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan serta pentadbiran negeri Kedah.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohd. Helmi Mohd. Khalid dalam kenyataan empat perenggan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azizan akan bertanding untuk mempertahankan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang disandangnya.
Dalam kenyataan tersebut, beliau turut memberi penghargaan kepada Pas kawasan-kawasan di seluruh negara yang mencalonkannya bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti berkenaan.
Sebelum ini, Azizan disebut-sebut akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas selain penyandangnya, Nasharuddin Md. Isa.
Sementara itu, empat lagi calon yang layak bertanding bagi jawatan tersebut ialah dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu, Datuk Dr. Haron Din serta Tengku Puji Tengku Abd. Hamid.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment