Wednesday, May 20, 2009

KHIR TOYO : Dilarang hadir selama setahun

Dilarang hadir selama setahun

Oleh NOR SEDEK ISMAIL dan ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 Mei - Selepas Perak, Selangor pula nampaknya bakal menjadi tumpuan apabila bercadang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (gambar) daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama setahun.

Tindakan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor yang bermesyuarat hari ini dipengerusikan oleh Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim.

Jawatankuasa itu mendapati bekas Menteri Besar Selangor tersebut bersalah terhadap tiga pertuduhan kerana membuat kenyataan menghina kewajaran mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) menerusi kenyataan di media dan laman blognya.

Chang Khim berkata, DUN akan disyorkan menggantung Mohamad Khir enam bulan bagi setiap pertuduhan tersebut. Selain itu, kesemua elaun dan keistimewaan yang diterimanya sebagai Ahli Dewan Negeri (ADUN) juga dicadang digantung untuk tempoh tersebut.

Bagaimanapun berbeza dengan di Perak, Chang Khim berkata, hukuman terhadap Mohamad Khir hanya akan dikenakan jika syor tersebut diterima pada sidang DUN Julai ini.

''Syor itu dilakukan setelah jawatankuasa berkenaan mendapati Mohamad Khir bersalah kerana tidak menghadiri pendengaran awam yang dikendalikan oleh Selcat pada Mac lalu.

"Semua syor hukuman itu akan dibentangkan pada sidang DUN sebelum sebarang keputusan diambil,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Bangunan Annex di sini.

Menurutnya, semua wakil rakyat yang menghadiri sidang tersebut kelak diberi peluang untuk membahaskan isu tersebut sehingga sesuatu keputusan ditetapkan.

Pendengaran awam oleh Selcat dengan bidang kuasa DUN itu bertujuan mengetahui penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Sementara itu, Mohamad Khir ketika dihubungi di sini hari ini menyifatkan cadangan Selcat supaya beliau digantung daripada menghadiri sidang DUN sebagai satu cubaan untuk 'menutup' mulutnya.

''Syor itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana sebelum ini saya dilihat banyak mengeluarkan kenyataan mengkritik cara pentadbiran kerajaan negeri termasuk Selcat sendiri,'' tegas beliau.

ADUN Sungai Panjang itu berkata, tindakan untuk menggantungnya daripada menghadiri sidang DUN bukan perkara baru kerana sebelum ini kerajaan negeri cuba membuat peraturan mengenakan tindakan terhadap wakil rakyat yang membuat kenyataan tidak memihak kepada mereka.

Jelas beliau, antara tindakan tersebut ialah penjara selama tiga tahun selain denda sebanyak RM10,000 kepada mana-mana ADUN yang didapati berbuat demikian termasuk di media massa.

"Sebagai Ketua Pembangkang, saya ada hak untuk mengkritik kerajaan negeri, tetapi mereka (kerajaan negeri) menggunakan alasan menghina legitimasi Selcat dalam media dan blog untuk 'menggantung' saya.

"Bagi saya, tindakan ini lebih teruk dan kejam daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sering didakwa mereka (pembangkang) tidak adil," ujarnya.

Mohamad Khir seterusnya berkata, syor itu jelas menunjukkan perilaku sebenar pakatan pembangkang yang bersandiwara dalam isu kebebasan bersuara.

Katanya lagi, mereka sebelum ini menyalahkan pihak lain dalam isu itu kononnya kebebasan termasuk media mereka disekat dan sebagainya.

"Sekarang, bagaimana pula dengan kebebasan saya untuk bersuara dalam memberikan pandangan kepada kerajaan negeri.

"Adakah syor tindakan terhadap saya ini merupakan kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh mereka?" soal beliau.






Dr Khir bakal digantung hadir sidang DUN


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Salangor mencadangkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, digantung daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) selama setahun kerana tidak menghadiri serta mempersoalkan kredibiliti sesi pendengaran awam jawatankuasa itu.

Selcat yang turut mengesyorkan perlucutan semua elaun dan keistimewaannya sebagai Adun selama setahun, perlu mendapatkan kelulusan sidang DUN dijadualkan diadakan Julai ini.

Dr Mohamad Khir yang juga Adun Sungai Panjang, turut didapati bersalah terhadap tiga tuduhan lain iaitu mengeluarkan kenyataan mengkritik, menyentuh hak dan kebebasan Selcat.

Sesi pendengaran awam Selcat yang bersidang pada Mac lalu adalah berhubung wang tajaan yang disalurkan kepada Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Pengerusinya, Teng Chang Khim, berkata bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Dr Mohamad Khir disyorkan dikenakan hukuman gantung daripada menghadiri sidang DUN selama enam bulan, tanpa dibayar elaun.

Jawatankuasa itu mengesyorkan semua hukuman itu dijalani serentak.

Empat lagi Adun Barisan Nasional (BN) iaitu Adun Dengkil, Datuk Marsom Paing; Adun Sabak, Datuk Warno Dogol; Adun Batang Kali, Isa Abu Kassim dan Adun Hulu Bernam, Datuk Mohd Idris Abu Bakar, turut didapati bersalah dan akan menghadapi hukuman digantung menghadiri sidang DUN selama enam bulan serta elaun dan keistimewaan sebagai Adun dilucutkan.

"Jawatankuasa ini tidak menghalang sesiapa saja termasuk wakil rakyat untuk mengkritik tetapi mereka perlu tahu batasannya.

"Mereka melampaui batas apabila mengkritik jawatankuasa ini sebagai alat politik sesetengah pihak," katanya semalam.

Teng berkata, Adun terbabit boleh berbahas dan mempertahankan diri mereka serta merayu keputusan itu dikaji semula pada persidangan DUN.

Beliau berkata, jawatankuasa itu tidak mencipta hukuman berkenaan tetapi berdasarkan kepada keputusan sebelum ini, termasuk hukuman penggantungan yang dikenakan terhadapnya pada 2005 selepas membuang buku Peraturan Dewan dalam bakul sampah.

"Ia (hukuman itu) bukanlah hukuman yang teruk, saya digantung 30 bulan dan elaun saya dilucutkan 18 bulan tanpa dibenarkan mempertahankan diri," katanya.

Pada mesyuarat berkenaan semalam, dua wakil rakyat, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari dan wakil rakyat BN Wong Koon Mun (Kuala Kubu Baharu) tidak hadir, manakala seorang lagi ahli jawatankuasa itu, Warno, tidak dibenarkan mengundi berikutan beliau adalah wakil rakyat yang disiasat.

Jawatankuasa Keistimewaan itu turut dianggotai Timbalan Speaker, Haniza Mohame Talha; Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh; Adun Rawang, Gan Peh Nei; dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Sementara itu, Dr Mohamad Khir berkata, beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan itu dan akan menunggu surat sebelum tindakan lanjut.

“Saya akan berbincang dengan peguam, sebelum mengarah peguam saya mengambil tindakan lanjut," katanya.

Nampaknya ' demokrasi ' makin subur dalam Pakatan Rakyat. SYABAS

No comments: