Thursday, November 15, 2007

Perhimpunan Bersih: Tempurung lutut Aleyasak terbelah dua dipijak polis

Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin
Thu | Nov 15, 07 | 3:05:00 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Seorang warga kota telah menjadi mangsa keganasan polis pada 10 Novemberlalu ketika hadir untuk memerhati himpunan aman rakyat anjuran Bersih.

Beliau, Aleyasak Hamid @ Hassan, 31, (cucu Pak Yazid Jaafar) telah mengalami kecederaan serius di kaki sehingga pecah tempurung lututnya akibat dipijak dengan kuat oleh lima pegawai polis sewaktu keadaan tidak terkawal di persekitaran stesen LRT Masjid Jamek.

ImageKatanya, ketika kejadian itu beliau bersama 50 orang peserta himpunan lain, sedang berjalan dan secara tiba-tiba beliau terdengar suatu suara yang kuat "Lari!".

"Kemudian anggota polis mengejar dan menerpa, kaki saya tersangkut dan jatuh ditindih oleh polis," ujar Aleyasak yang tinggal di Kajang yang datang bersendirian dengan memakai t-shirt hitam.

Beliau hanya dibantu oleh anggota Unit Amal Malaysia dan tidak mendapat simpati pegawai polis yang terus menerus mengasarinya.

Berikut adalah laporan polis Aleyasak:

Pada lebih kurang jam 4 petang 10 November, di Jalan Tun Perak, berdekatan Dataran Merdeka, enam orang pegawai polis menyerang saya dari belakang dan menyebabkan saya jatuh dan memijak belakang dan kaki dan menyepak di bahagian lutut dan rusuk kanan.

Saya merayu supaya mereka jangan angkat saya kerana kaki saya patah. Tetapi mereka dengan kasar mengangkat dan menyepak lutut saya. Saya merayu tetapi mereka memaki saya dengan kata-kata kesat. Mereka tolak saya sehingga melanggar tangga trak polis. Saya merayu agar mereka angkat saya tapi mereka enggan dan saya naik sendiri dengan bantuan tahanan lain. Saya Imagedibawa ke IPK Kuala Lumpur dan kemudian Ambulans St John bawa saya ke Hospital Kuala Lumpur. Saya patah kaki, tempurung lutut pecah dan sedang menunggu pembedahan.

Aleyasak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur pada malam 10 November dan telah menjalani pembedahan pada jam 1.30 tengah hari pada dua hari selepas kejadian

Ketika ditemui jam 5 petang sebaik selesai menjalani pembedahan, beliau masih dalam keadaan lemah, tetapi sanggup memberikan keterangan.

Menurut pegawai perubatan yang melakukan pembedahan tersebut, berdasarkan laporan kesihatan dan hasil x-ray kaki Aleyasak jika sekiranya ia dikemukakan untuk tindakan undang-undang, beliau berpotensi untuk memenangi kes tersebut.

Harakah juga difahamkan, keluarganya berasa sedikit terganggu dengan gangguan pihak tertentu yang meminta supaya beliau tidak membuat sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

Namun, setakat ini beliau belum memutuskan untuk mengenakan tindakan undang-undang kepada pihak yang berkenaan. - mns


No comments: