Thursday, November 15, 2007

Guru kena tindakan jika berdemonstrasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mengesan guru yang mungkin terbabit dalam perhimpunan haram anjuran parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) di beberapa lokasi di ibu negara, Sabtu lalu.

Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkarnain Awang, berkata pihaknya memandang serius pembabitan guru kerana ia jelas bertentangan dengan peraturan seperti termaktub dalam Perintah Am.

Beliau berkata, kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati bersalah, termasuk mencadangkan mereka dibuang kerja, turun pangkat atau menahan kenaikan gaji.

"Peraturan kerajaan dalam Perintah Am adalah jelas dan perlu dipatuhi semua pihak terbabit. Mereka yang bersalah sudah pasti tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan," katanya selepas melancarkan Hari Integrasi atau e-Integrasi Kelompok Sentul di sini, semalam.

Sabtu lalu, seramai 254 individu, berusia antara enam hingga 55 tahun ditahan selepas disyaki menyertai perhimpunan haram di sekitar ibu negara, meskipun diarahkan bersurai oleh polis.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai pembabitan mana-mana guru dalam perhimpunan haram berkenaan.

Mengenai penahanan 18 kanak-kanak pada perhimpunan haram itu, beliau berkata, kementerian sedang menunggu laporan lengkap mengenainya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dilaporkan berkata sekiranya 18 kanak-kanak yang ditahan itu pelajar, mereka tidak akan dibuang, sebaliknya perlu melalui proses pemulihan.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, kementerian sedia menimbangkan cadangan untuk memperluaskan program e-Integrasi ke Sabah dan Sarawak sekiranya projek perintis yang sedang dilaksanakan di Semenanjung berjaya.

No comments: