Thu | Nov 15, 07 | 6:19:37 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Hrkh) - Kuala Lumpur dan seluruh bandar besar di negara ini akan di"karam"kan dengan warna kuning jika penipuan diteruskan dalam pilihan raya akan datang, kata Naib Presiden PAS Haji Mohamad Sabu.
"Bukan lagi 100,000 orang malah jumlah yang lebih besar akan menjadikan seluruh negara ini karam dengan warna kuning berhari-hari untuk membantah pilihan raya yang zalim dan kotor," tegas beliau.
Sambil menyifatkan pihak yang menentang Himpunan Aman Bersih Sabtu lalu melakukan kesilapan besar kerana melakukan tindakan demi tindakan menakut-nakutkan rakyat dengan peluru hidup dan keganasan, Mohamad Sabu berkata pilihan kini terletak di tangan Perdana Menteri, parti yang dikuasainya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada hendak meneruskan penipuan yang akan dibantah rakyat secara besar-besaran atau memastikan pilihan raya berjalan adil dan bersih.
"Terpulang kepada mereka sama ada memilih kejujuran atau kebangkitan besar-besaran rakyat," katanya.
Jakun kuasa
Menurut Mohamad Sabu, PAS telah berusaha untuk berunding sejak 2003 lagi tetapi tidak dipedulikan oleh "pihak-pihak yang angkuh dan jakun dengan kuasa itu".
"Apabila kita hendak menghimpunkan 100,000 rakyat bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih Sabtu lalu, barulah terhegeh-hegeh pemimpin tertinggi hendak mengajak berunding. Sudah terlambat kerana rakyat tidak mahu lagi bertolak ansur dengan penipuan dan keangkuhan.
"Rakyat yang pantang ditipu dan dizalimi tidak peduli lagi dengan gertakan kononnya pantang dicabar," tegas beliau.
Sambil menyifatkan kejayaan perhimpunan itu sebagai kejayaan semua rakyat Malaysia, Mohamad Sabu berkata, perhimpunan itu hakiatnya adalah lonjakan pemikiran rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih.
"Kejayaan itu merupakan perubahan dan lonjakan yang sangat penting dalam pemikiran rakyat untuk menggunakan kuasa mereka menuntut keadilan," tegas beliau.
Perhimpunan itu juga, katanya, adalah cetusan yang memberi ingatan kepada mereka yang melakukan kezaliman dan penipuan supaya memastikan pilihan raya berjalan dengan adil dan bersih.
"Dengan cetusan dan lonjakan itu, seperti yang saya nyatakan, seluruh negara akan karam dengan warna kuning jika berlaku lagi ketidakadilan dan penipuan dalam pilihan raya.
Sanggup mati
"Oleh kerana perhimpunan itu dituduh perhimpunan pondan-pondan, kita hendak mengingatkan mereka bahawa "pondan-pondan" akan turun lagi ke jalan raya untuk menjadikan negara ini karam dengan warna kuning ketika "jantan-jantan" bersembunyi di celah ketiak polis dan kekejaman mereka," tegas beliau.
Beliau mengingatkan "jantan-jantan" yang bersembunyi di bawah ketiak polis itu bahawa beliau bertemu sendiri dengan "pondan-pondan" yang turun berhimpun 10 November lalu dengan niat hendak menghabiskan usia mereka ketika menuntut keadilan.
"Tidak seperti "jantan-jantan" yang berlindung di bawah ketiak polis itu, ramai "pondan" yang mengidap pelbagai penyakit serius seperti sakit jantung memberitahu saya bahawa daripada mati di rumah lebih baik mati dalam perhimpunan aman itu jika polis mengganas atau menggunakan peluru hidup," katanya.
Beliau mengingatkan mereka yang mengugut dengan keganasan bahawa orang yang bersedia untuk mati tidak takut apa-apa melainkan Tuhan dan mereka yang angkuh dan "perasan diri mereka jantan yang pantang dicabar" pula janganlah mengugut rakyat dan terlalu jakun dengan kuasa yang sementara dan boleh dimusnahkan Tuhan pada bila-bila masa.
Mengenai kecamannya terhadap polis "yang berkursus di England tetapi bertindak dengan cara Burma", Mohamad Sabu berkata: "Kalau itulah cara polis bertindak, lebih baik pergi belajar di Burma. Lebih dekat, lebih jimat dan tidak perlu membazirkan lebih banyak wang rakyat," kata beliau.
Mohamad Sabu mengulangi penegasan bahawa PAS tidak takut kalah dalam pilihan raya yang adil dan bersih tetapi tidak akan menerima sama sekali pilihan raya yang tidak adil dan kotor.
"Jangan sombong dengan kebodohan dan mencabar kami dengan pilihan raya yang kotor dan tidak adil. Mari berlawan dalam pilihan raya yang adil dan bersih dan kami tidak ada masalah menerima kekalahan jika rakyat menolak kami. Kami telah membuktikannya!" tegas beliau. T-shirt Bersih setiap Sabtu
Ketika ditanya mengenai anjuran supaya rakyat memakai t-shirt Bersih yang berwarna kuning atau sekurang-kurangya memakai pakaian berwarna kuning setiap Sabtu sebagai tanda menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, Mohamad Sabu menggesa semua pihak memulakan tindakan itu tanpa bertangguh-tangguh lagi.
"Semua yang menyokong mesti pakai t-shirt Bersih atau pakaian berwarna kuning setiap Sabtu. Jangan hanya harap orang lain pakai tetapi diri sendiri tidak pakai," tegas beliau.
No comments:
Post a Comment