Thu | Nov 15, 07 | 9:19:23 am MYT
Tak pasal-pasal nama Parti Islam SeMalaysia (PAS) turut dibabitkan dalam pertelingkahan antara dua parti komponen Barisan Nasional yang semakin memuncak kini.
Sabtu lalu (9 November), Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu sekali lagi bertegas menolak sebarang kemungkinan partinya akan berdamai dengan Parti Progresif Penduduk (PPP) pimpinan Datuk M. Kayveas selepas kedua-dua kerabat BN itu saling cabar-mencabar dan kutuk-mengutuk sejak lebih sebulan lalu.
Akhbar mingguan Ahad lalu melaporkan Samy Vellu jelas tidak dapat mengawal kemarahan apabila bingkas meninggalkan sidang akhbarnya sebaik diajukan soalan mengenai PPP. Beliau bagaimanapun sempat membebel kepada wartawan bahawa sebarang keinginan melihat kedua-dua parti itu berbaik semula adalah ibarat mengharapkan DAP berbaik dengan BN, atau Umno menjalin hubungan baik dengan PAS.
"Bolehkah DAP berbaik dengan BN? Saya nak tanya, bolehkah Umno berbaik dengan PAS? Ia (PPP) adalah lebih teruk daripada PAS," kata pemimpin MIC itu.
Sifat berang Samy Vellu itu bagaimanapun bukan sesuatu yang luar biasa, terutama apabila menghadapi para wartawan. Sebagai orang nombor satu dalam parti politik terbesar yang mewakili masyarakat India di Malaysia, perasaan 'supreme' itu menyebabkan beliau banyak kali menuturkan ungkapan sedemikian, terutama terhadap mana-mana pihak yang dianggap mencabar supremacy kepimpinan beliau dalam masyarakat kaumnya.
Ingat lagi bagaimana kata Samy Vellu apabila ditanya mengenai kemungkinan beliau berbaik semula dengan M.G. Pandithan suatu ketika dahulu? Bekas Naib Presiden MIC itu pernah mencabar Samy Vellu untuk jawatan Presiden tetapi kalah. Beliau kemudiannya bertindak keluar daripada MIC dan menubuhkan Barisan Progresif India Se-Malaysia (AMIPF). Tidak sedikit ahli MIC bertindak keluar parti dan menyertai Pandithan.
Tak mungkin berbaik semula
Banyak kali juga dalam masa hampir dua dekad selepas itu Samy Vellu mengulangsebut bahawa antara beliau dan Pandithan tidak mungkin akan dapat berbaik semula. Duduk tak duduk, beberapa bulan lalu mereka bukan setakat berkongsi pentas, malah saling berpelukan dan tersenyum girang. Mereka malah mengisytiharkan secara terbuka bahawa permusuhan antara mereka berdua telah tamat.
Apakah permusuhan Samy Vellu dengan Kayveas juga bakal berakhir dengan adegan serupa? Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Bagaimanapun, sebagai sebuah parti yang sama-sama menjadi kerabat BN, PPP tidak sewajarnya dilayan sama macam IPF. Parti serpihan MIC itu memilih haluan perjuangan bersama kumpulan pembangkang.
Dalam Pilihan Raya Umum 1990, IPF menggabungkan diri dalam Gagasan Rakyat bersama-sama DAP dan Parti Melayu Semangat 46 pimpinan bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah. Untuk itu, Samy Vellu ada alasan sangat munasabah untuk tidak memaafkan Pandithan, kerana ia memimpin sebahagian masyarakat India menentang BN.
Keadaan bagaimanapun berbeza dengan PPP. Parti yang asalnya pembangkang itu telah lama menjadi kerabat setia BN. Bahkan, dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini, parti itu pernah tidak ditawarkan sebarang kerusi. Kewujudannya dalam BN hanya sekadar turut bersuara dalam mesyuarat tertinggi BN.
Menurut catatan sejarah politik negara, PPP adalah sebuah parti pembangkang yang sangat kuat. Kewujudannya sezaman dengan PAS, Parti Negara pimpinan Dato' Onn Jaafar dan Front Sosialis (SF). Dalam pilihan raya umum pertama selepas kemerdekaan negara, PPP bertanding di 19 kerusi Parlimen dan 39 kerusi negeri. Walau pun fokus utama pergerakannya ialah di Perak, PPP turut mencuba nasib di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
Dalam pilihan raya itu, PPP menang di empat kerusi Parlimen dan lapan kerusi negeri, kesemuanya di Perak. Empat kawasan Parlimen tradisi PPP itu ialah Ipoh menerusi Dharma Raja Seenivasagam, Menglembu (Sri Padhmaraja Seenivasagam), Ulu Kinta (Chan Swee Ho) dan Batu Gajah (Khing Kok Yat).
Lapan kerusi negeri pula ialah di Pekan Lama (Toh Seang Eng), Pekan Bharu (D.R. Seenivasagam), Pasir Puteh (Mohd Fajar Ali Hassan), Kuala Pari (S.P. Seenivasagam), Chemor (Teoh Kim Swee), Sungai Raia (Chin Foon), Pusing (Khong Kok Yat) dan Gopeng (Hor Hock Lung). Kemenangan itu meletakkan PPP sebagai pembangkang utama di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Dalam Pilihan Raya Umum 1964, PPP mengurangkan jumlah kerusi ditandinginya. Ia meletakkan calon hanya di sembilan kerusi Parlimen dan 26 kerusi negeri. Fokusnya masih di Perak, Selangor dan Pulau Pinang, selain mencuba nasib di Negri Sembilan pula.
PPP bagaimanapun hanya mampu mempertahankan lima daripada lapan kerusi negeri dimenanginya dan dua daripada empat kerusi Parlimen, iaitu Ipoh dan Menglembu menerusi dua beradik Seenivasagam. Ia kekal sebagai satu-satunya pembangkang dalam DUN Perak.
Pilihan Raya Umum 1969 adalah kemuncak kegemilangan PPP dalam sejarah politik tanahair. Meski pun ia lebih berhati-hati dalam mempertaruhkan calonnya, jumlah kerusi dimenanginya meningkat mendadak. Ia menang di 12 kerusi negeri daripada 16 yang dimasukinya. Manakala di peringkat Parlimen, ia kembali menguasai empat kerusi, daripada enam ditandinginya. Kesemua kerusi tersebut adalah di Perak.
Empat kerusi Parlimen itu ialah Ipoh, Menglembu, Ulu Kinta dan Bruas. Manakala bagi kerusi negeri, selain lapan kerusi sama yang dimenanginya pada 1959 dulu, PPP turut menambah kemenangan di Bidor, Pasir Bedamar, Jalong dan Ayer Tawar.
Tidak syak lagi ketika itu PPP adalah parti yang sangat disegani dalam arus politik negara, terutama di negeri Perak. Kedudukannya setanding dengan PAS, DAP, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GRM) dan lain-lain pembangkang.
Perikatan yang memerintah negara ketika itu hanya menang 74 daripada 144 kerusi Parlimen, sekaligus hilang majoriti dua pertiga. Suasana politik negara selepas itu jadi sudah tidak menentu. Keganasan dan kekacauan meletus apabila kedudukan Perikatan mula tergugat.
Peristiwa hitam
Fakta sejarah ini sepatutnya sentiasa diingati. Bahawa pihak yang telah terbukti paling sukar menerima kekalahan ialah Perikatan yang diterajui Umno. Peristiwa hitam selepas Pilihan Raya Umum 1969 adalah buktinya.
PPP akhirnya dipujuk menyertai satu gabungan pemerintahan baru dinamakan Barisan Nasional. Ia merupakan gabungan sembilan parti politik iaitu Umno, MCA, MIC, PAS, Perikatan Sabah, GRM (Gerakan), Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PESAKA), Sarawak United Peoples Party (SUPP) dan PPP.
Perlu diingati bahawa kemasukan PPP ke dalam BN lebih tiga dekad lalu berbekalkan kekuatannya di empat kawasan Parlimen tradisinya dan 12 kerusi negeri di Perak. Malangnya, kesediaanya bersama BN itu sedari awal lagi menuntut pengorbanan.
Tidak semua kerusi dimilikinya ketika itu kekal ditandingi PPP dalam pilihan raya umum berikutnya. Tidak semua juga bekas wakil rakyat PPP dipilih semula mempertahankan kerusi masing-masing. Maka ada antara mereka yang bertindak keluar parti dan bertanding sebagai calon bebas.
Sejak itu apa yang dimiliki PPP semakin mengecil dan jauh dari apa yang pernah menjadi haknya secara tradisi. Kini, ia hanya memiliki satu kerusi Parlimen iaitu di Taiping menerusi Presidennya. Itu pun masih dipertikai dan dituntut pelbagai pihak dari sesama kerabat BN sendiri.
Gerakan mendakwa kerusi itu miliknya yang hanya "dipinjamkan" kepada PPP. Bekas Timbalan Presiden Gerakan, Kerk Choo Ting adalah Ahli Parlimen Taiping sejak 1990 hingga 2004. Sebelum itu, ia diwakili Paul Leong Khee Seong, juga dari Gerakan.
Dalam keadaan yang ada kini, tuntutan PPP untuk mendapat tambahan peruntukan kerusi nampaknya tidak mungkin dipertimbangkan. Mungkin mengambilkira hak tradisi (sejak 1974) Gerakan di kerusi diwakilinya kini (Taiping), timbul cadangan daripada Kayveas agar PPP bergabung dengan Gerakan. Logiknya, jika penggabungan itu direalisasikan, tidak akan timbul lagi pertikaian mengenai kerusi berkenaan.
November 2006 lalu, Kayveas secara terbuka mempelawa Gerakan bergabung dengan PPP. Beliau menyifatkan kedua-dua parti memiliki banyak persamaan kerana sifatnya yang multi-racial. Cadangan itu disebutnya di dalam ucaptama perhimpunan partinya di Pulau Pinang. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang hadir merasmikan konvensyen itu bagaimana pun hanya berjanji untuk mempertimbangkannya. Hingga kini, penggabungan itu tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, permusuhan yang berpunca daripada masalah berkaitan masyarakat India di antara MIC dan PPP semakin meruncing. Pada 2 November lalu, Jawatankuasa Pusat MIC pula mendesak agar PPP disingkir daripada BN. Pihak MIC dikatakan sedang menyiapkan cadangan rasmi untuk dibawa presidennya ke dalam mesyuarat tertinggi BN nanti.
Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel ketika mengesahkan perkara itu malah menambah bahawa sentimen dialami MIC itu turut dikongsi parti-parti komponen BN yang lain.
Kritikan pedas
Benarkah parti-parti komponen BN lain sebegitu negatif terhadap PPP? Ia agak munasabah juga jika diambilkira kritikan pedas Puteri Umno terhadap parti itu minggu lalu. Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad di dalam ucapannya di perhimpunan agung partinya malah menyeru agar PPP menutup mulut dan berhenti membuat bising, terutama di dalam perkara tuntutan tambahan kerusi dalam pilihan raya.
Hina bukan? Bagaimana seorang "bapa saudara" yang pada asalnya diajak bergabung untuk memperkuatkan keluarga, tetapi kini diseranah "anak saudara perempuan" yang masih mentah? Apakah PPP sudah tidak ada maruah?
Keadaan yang ada nampaknya tidak bertambah baik buat PPP. Kehadirannya di dalam BN dilayan semacam kerabat kelas dua. Ajak bergabung orang tak layan, silap menegur orang anggap mengacau, minta kerusi orang suruh tutup mulut.
Mengapa PPP tak keluar saja daripada BN? Mungkin ia boleh menjadi parti yang lebih bermaruah sekiranya berada di luar parti pemerintah itu. Lagi pun, kemuncak kegemilangannya ialah ketika ia bergelar pembangkang dulu.
No comments:
Post a Comment