Thursday, November 15, 2007

PAS kecewa kabinet lengahkan keputusan kes 'Pita Lingam"

Salmiyah Harun
Thu | Nov 15, 07 | 5:07:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Walaupun menerima Laporan Panel Penyiasat yang ditubuhkannya sendiri, kabinet sengaja melengah-lengahkan keputusan isu besar yang membabitkan video peguam VK Lingam.

PAS melahirkan kekecewaan terhadap sikap kabinet sengaja melengah-lengahkan dalam menyelesaikan isu membabitkan integriti kehakiman negara yang sedang dinanti oleh rakyat.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan berkata, rakyat masih menunggu respons kabinet atas isu yang serius dan mencabar kewibawaan sistem kehakiman negara yang didedahkan sejak bulan September lalu.

Apa yang mengecewakan, kabinet rupa-rupanya tidak keluar dengan sebarang keputusan, sebaliknya mengarahkan pula agar tiga orang menterinya yang memiliki latar belakang undang-undang untuk mengkaji syor dari anggota panel penyiasat ini dari perspektif undang-undang.

"Tidakkah dua dari tiga orang anggota panel penyiasat ini merupakan bekas-bekas hakim belaka?" soalnya.

PAS merasakan Perdana Menteri dan kabinet tersilap dalam menganggap isu ini hanya boleh ditangani oleh mereka yang berlatar belakangkan undang-undang kerana isu ini bukan lagi isu undang-undang semata-mata tetapi ia telah terbit sebagai isu yang melibatkan kewibawaan dan maruah negara.

PAS bertegas bahawa jalan penyelesaian terbaik dan paling praktikal bagi kerajaan ialah segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya Penyiasat Di Raja bagi menyiasat dan mengesyorkan tindakan yang sewajarnya diambil hasil dari pendedahan video ini untuk memulihkan imej kerajaan dan badan kehakiman yang semakin dicurigai oleh rakyat itu.

Justeru, tindakan melengah-lengahkan keputusan seumpama ini hanya akan menjejaskan imej negara dan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan institusi kehakiman negara. - mns


No comments: