Thursday, November 15, 2007

BPR panggil Jeffrey beri keterangan

KOTA KINABALU 14 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah hari ini merekod keterangan Naib Pengerusi Ketua Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berhubung laporan polis yang dibuatnya mengenai penganugerahan darjah tertinggi negeri kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan.

Jeffrey dilihat tiba di Ibu Pejabat BPR di sini, kira-kira pukul 10 pagi untuk diambil keterangan.

Ketika ditemui, Jeffrey memberitahu, beliau menerima panggilan daripada ibu pejabat BPR minggu lalu untuk direkod keterangan hari ini.

‘‘Ia berhubung laporan polis saya terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengenai penganugerahan darjah kebesaran kepada Ketua Pengarah BPR (Said).

‘‘Ketika penganugerahan darjah berkenaan, BPR masih menyiasat kes rasuah membabitkan Ketua Menteri (Musa).

‘‘Selepas (penganugerahan darjah) itu, BPR mengumumkan Ketua Menteri bebas daripada kes rasuah. Adakah siasatan kes sudah dikompromi?'' katanya di sini, hari ini.

Penganugerahan darjah kebesaran tertinggi kerajaan negeri iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) itu diberikan kepada Ahmad Said ketika sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah ke-61 pada 27 Oktober lalu.

Jeffrey seterusnya berkata, beliau bagaimanapun melahirkan rasa gembiranya kerana pihak BPR telah memberi reaksi segera terhadap kes tersebut.

No comments: