Thursday, November 15, 2007

Rashid tahu tarikh pilihan raya ke-12 tapi...

Harakahdaily
Thu | Nov 15, 07 | 4:31:44 pm MYT

MELAKA, 15 Nov - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata beliau tahu bila pilihan raya ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat memberitahunya.

"Saya tidak boleh berbohong yang saya tidak tahu bila pilihan raya akan datang, saya tidak dapat beritahu bila masanya, tetapi saya telah beri cukup peringatan untuk semua membuat persediaan," katanya, seperti dilaporkan Bernama.

Sambil menjelaskan bahawa bahangnya semakin hampir, beliau mengingatkan semua pihak supaya membuat persiapan kerana SPR tidak mahu sesiapapun yang ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

"Jika SPR giat membuat persiapan, maka pihak lain termasuk parti politik, juga perlu membuat persiapan," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya umum ke-12 negeri Melaka di sini, Khamis.

Taklimat itu antaranya berkaitan peranan dan tanggungjawab pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.

Bermula di Melaka hari ini, SPR akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat serupa di setiap negeri.

Abdul Rashid berharap bahawa selepas selesai SPR semua taklimat itu yang dijangka mengambil masa sebulan setengah, pilihan raya mungkin dapat diadakan.


No comments: