Thu | Nov 15, 07 | 8:53:15 am MYT
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Sikap Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merumuskan pendirian kerajaan di dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini disifatkan sebagai suatu hal yang tidak kena pada tempatnya.
"Dalam perhimpunan agung Umno lalu, beliau sepatutnya berucap mewakili suara kepentingan Melayu seluruhnya," kata pengkritik sastera Dr Hashim Ismail.
Selain itu, kata Dr Hashim, ada kalangan ahli-ahli Umno yang mula terfikir tentang citra sejati perjuangan mereka sendiri, apakah perjuangan mereka berada di landasan Umno.
"Mereka baru terfikir bahawa perlembagaan Umno menyebut, perjuangan mereka adalah untuk mendaulatkan bahasa Melayu," jelasnya ketika membentang kertas kerja dalam Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 13 November lalu.
Permit polis
Dalam banyak isu yang dibangkitkan Abdullah, antaranya menyentuh soal permit polis ke atas Perhimpunan 100,000 Rakyat anjuran gabungan Bersih, 10 November lalu.
Presiden Umno itu secara jelas menyebut: "Polis sudah memberitahu saya bahawa tiada permit yang akan diberikan." Abdullah seperti ingin menunjukkan bahawa dalam keadaan apa pun, memang menjadi niat polis (tentunya atas arahan elit politik dalam pemerintah) bahawa permit polis tidak akan sesekali diberi kepada pembangkang.
Kenyataan sebegini menunjukkan dengan nyata bahawa polis tunduk kepada kepentingan politik Umno kerana ia dilafazkan dalam perhimpunan agung parti itu, sedangkan polis merupakan salah satu jentera kerajaan. Dan tindakan ganas FRU berdasarkan "arahan Umno" tentu membawa petaka di mana maruah negara terancam oleh liputan media antarabangsa.
Salah satu analisis Reuters bertajuk, menyebutkan: "Malaysia's biggest anti-government protest in a decade has ended in a cloud of tear gas, but one thing is now clear -- the prime minister has a fight on his hands as he heads to the next election."
Demonstrasi itu, menurut analisis berkenaan, adalah aksi protes jalan raya terbesar berbanding bantahan ke atas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim Anwar pada September 1998, seiring lahirnya gerakan "Reformasi" yang akhirnya membawa kesan mendalam ke atas corak pengundian dalam pilihan raya umum 1999.
"Penganalisis politik berkata, protes itu dan lain-lainnya menyebabkan Abdullah terpaksa menimbang semula rasional memutuskan tarikh pilihan raya dalam tempoh terdekat," laporan agensi berita itu dipetik.
Ringkasnya, keganasan anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) mencacatkan wajah Malaysia di mata pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2007. Setakat ini, tiada kenyataan pelancong yang mengiyakan tindakan FRU itu atau mungkin juga tempias percikan water canon turut menimpa wajah mereka.
Sementara itu, hal Islam Hadhari sebagai agenda kerajaan yang sepatutnya dibincangkan secara terbuka bersama rakyat semua turut dibangkitkan di dalam perhimpunan agung itu.
Apa yang menyebabkan gagasan itu seperti gagal diperjuangkan oleh ahli Umno sendiri?
Agamawan Umno, Ustaz Kamal, dalam ucapannya sebagai perwakilan dari Kedah ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno turut menyebutkan rasa kesalnya ke atas sikap ahli Umno yang tidak membantu Abdullah menjayakan projek Islam Hadhari ke serata negeri.
"Tinggallah Pak Lah seorang dia sahaja dok bagi penerangan mengenai Islam Hadhari ni. Mana dia yang lain?" kata beliau. Apakah kerana gagasan itu cukup berat diperjuangkan atau ahli Umno sendiri yang tidak berminat dengan wacana ilmiah?
Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya al-Mukaddimah, Bab Ketiga, fasal 24 menyebutkan, kekerasan berlebihan akan memudaratkan kedaulatan berkuasa serta boleh menyebabkan kehancuran sesebuah kekuasaan.
Tumpuan rakyat kepada pemimpinnya, menurut Ibnu Khaldun, bukan kepada hal luaran, seperti ketampanan, kepintaran, ilmu luas, tulisan cantik dan otaknya yang pintar, malah ia menyangkut soal hubungannya yang jernih terhadap rakyatnya sendiri.
Kelembutan
Tambahnya, ketuanan yang baik adalah sama dengan kelembutan. Jika raja menggunakan kekerasan, mengenakan hukuman yang setimpal dan bersungguh-sungguh mendedahkan kesalahan yang dilakukan rakyat, dan menghitung-hitung perbuatan salah yang dilakukan maka rakyat menjadi takut, sedih serta berusaha melindungi diri dengan jalan berdusta.
"Sifat berdusta menjadi tingkah laku mereka. Fikiran dan tinghkah laku mereka tercemar. Mereka sering meninggalkan pemimpin di medan perang dan gagal membantunya dalam usaha memperkukuhkan pertahanan.
"Seseorang yang sentiasa berhati-hati dan sungguh pintar jarang mempunyai sikap lemah lembut. Hal boleh dilihat daripada kisah Ziyad ibn Abi Sufyan ketika dia diturunkan oleh Umar dari jabatannya di Iraq," jelas bapa ilmu kemasyarakatan itu.
Ziyad bertanya, "Apa alasan tuan Amirul Mukminin, apakah aku lemah atau khianat?"
Kata Umar: "Saya tidak memecat kerana satu di antara dua alasan tersebut. Tapi, saya tidak mahu membebankan kehebatan otakmu (di pundak) manusia."
Mungkin ahli Umno perlu bermuhasabah sama ada kupasan Islam Hadhari ini terlalu berat sehingga ahli Umno sendiri tidak sanggup memikulnya atau kecerdasan corak pemikiran Presiden Umno yang membebankan sehingga mereka tidak dapat mengikutinya sebagai pendapat yang dilantunkan oleh Ibnu Khaldun itu.
Mukaddimah Ibnu Khaldun adalah tersenarai sebagai salah satu rujukan Islam Hadhari di mana terkandung di dalamnya rumusan konsep Umran Badawi dan Umran Hadhari. Tapi, berapa ramaikah ahli Umno yang mengkaji kitab ini dalam 'usrah' mereka di coffee house sambil menyemak pelan projek terbaru?
Pandangan Ibnu Khaldun tentang 'kekerasan' ini juga terkait dengan tindakan poli-–FRU yang gemar menindas dengan alat yang mencederakan tubuh mereka. Di manakah hukum Qisas untuk dilaksanakan dalam kes ini? Bolehkah rakyat balas kembali water canon dan gas pemedih mata ke arah FRU dengan cara sama? Apa pandangan mufti dalam hal ini?
Dan apakah Majlis Fatwa telahpun mengeluarkan hukum menggunakan water canon, gas pemedih mata dalam hal tersebut seperti mana mereka telah mengeluarkan "fatwa" ke atas tahanan wanita yang pernah dihukum ketuk ketampi dalam keadaan berbogel dahulu?
Malaysia, dengan rupa wajahnya yang telah dicacatkan oleh Perhimpunan 100,000 Rakyat tanggal 10 November lalu tentunya sukar memasarkan idea Islam Hadhari kepada Dunia Islam melalui OIC. Maka, terjawablah sudah, kenapa Abdullah risau terhadap protes itu.
Ini kerana, beliau pernah menerima anugerah dari Indonesia serta Australia bermodalkan gagasan Islam Hadhari. Hal ini tentunya menjatuhkan maruah Malaysia sebagai khalifah OIC sekali gus mencacatkan rupa wajah Malaysia sebagai model negara Islam dalam kaca mata Barat di mana penjajah antarabangsa, Amerika seringkali memujinya.
Damai
Atau, dalam kata lain, jika Pengerusi OIC berdepan dengan kemelut masalah demokrasi, bagaimanakah Malaysia dapat mendamaikan pertikaian antara Musharraf, Benazir Bhutto dan Nawaz Shariff termasuk merumuskan formula damai antara Turki - Iraq - Kurdish?
Laporan mengenai Perhimpunan 100,000 Rakyat anjuran Bersih disiar kandi seluruh dunia termasuk al-Jazeera yang dilihat sebagai media Islam antarabangsa. Penyiaran keganasan FRU oleh media Islam berpengaruh itu sekali lagi bakal mengundang malapetaka besar ke atas Islam Hadhari tajaan Malaysia sebagai Pengerusi OIC.
Apatah lagi, cara jawapan Menteri Penerangan Dato' Zainuddin Maidin dalam al-Jazeera itu menunjukkan beliau kelihatan sebagai pengerusi jentera propaganda kerajaan Umno-BN.
Kesombongan adalah garis sempadan antara kemanusiaan dan kesyaitanan. Kalau takbur itu (enggan menerima kebenaran) bertapak dalam jiwa insan, maka beza antara manusia dan syaitan, hanyalah kerana insan berasal dari tanah dan syaitan dari api.
Rakyat telah bangun menyanggah kesombongan agar mereka kembali mentadbir dengan lemah lembut, tanpa "kekerasan ilmiah" (memaksakan kepintaran) terhadap rakyat, tanpa "kekerasan jiwa" (akta zalim, keganasan FRU) bagi menuju matlamat kezaliman sifar.
No comments:
Post a Comment