Thursday, November 15, 2007

Orang muda perlu didedah politik – Musa Hitam

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Golongan muda disaran bergiat aktif dan sentiasa bersiap sedia menjadi pelapis pemimpin yang berkaliber untuk meneruskan agenda politik negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, pendedahan itu penting untuk mereka menyesuaikan diri dan bergaul dengan masyarakat.

‘‘Ia sebenarnya satu pengalaman menarik. Golongan muda ini boleh mula berfikir secara adil dan melihat semua perkara dari aspek yang natural.

‘‘Politik mendisiplinkan golongan muda. Ia membuka pemikiran yang sempit kepada satu pandangan jelas mengenai masa depan dan tanggungjawab mereka kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian buku The Unmaking of Malaysia di sini hari ini.

Buku setebal 271 muka surat hasil tulisan Ahmad Mustapha Hassan itu menceritakan kembali perbezaan cara penulis bekerja semasa berkhidmat di bawah dua bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia juga berkisar tentang kejadian berdarah, 13 Mei 1969 selain cara yang digunakannya untuk menemukan dua bekas Perdana Menteri itu dan bagaimana mengendalikan kerenah ahli perniagaan.

Tambah Musa yang juga Timbalan Presiden UMNO dari 1981 hingga 1987, kelahiran buku itu dilihat sebagai satu cara untuk membangkitkan kembali semangat kenegaraan yang semakin pudar di kalangan rakyat.

‘‘Secara jujurnya, objektif penerbitan buku ini sudah tercapai. Ia mengandungi cerita yang seharusnya diketahui pembaca tentang konsep pemerintahan pemimpin negara dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka,” ujarnya.

No comments: