Thu | Nov 15, 07 | 10:52:30 am MYT
Kira-kira jam 9.30 malam pada hari Jumaat, 9 November 2007, saya bertolak dari Temerloh menuju Kuala Lumpur untuk ke menyertai Perhimpunan Aman 10 November anjuran Bersih. Turut bersama saya Ustaz Nafiri Toazi, Ketua Penerangan Ulama PAS Pahang serta tiga orang sahabat lagi. Pada malam tersebut kami bermalam di Bangi.
Keesokan harinya tepat jam 10 pagi, kami bertolak ke Sungai Besi dan dari sana menaiki LRT ke Masjid Jamek. Kami tiba kira-kira jam 11.30 pagi dan mendapati sudah ramai orang yang berkumpul di situ. Saya jangkakan kira-kira 20 ribu orang. Mereka tidak dapat memasuki masjid kerana pagarnya masih berkunci ketika itu.
Saya melihat ia sengaja dibuat oleh pihak polis kerana untuk memudahkan mereka memerangkap peserta himpunan supaya tidak terlepas untuk berarak ke Dataran Merdeka sebagaimana dikehendaki penganjur, iaitu "perarakan aman dari Datran Merdeka ke Istana Negara".
Masjid Jamek adalah lokasi berkumpulnya peserta himpunan bagi negeri-negeri Pantai Timur. Namun begitu, ramai juga peserta dari negeri lain termasuk Kedah dan Pulau Pinang yang berkumpul bersama.
Selepas sembahyang Zuhur orang ramai terus berkumpul di dalam masjid. Beberapa orang pimpinan PAS turut berada di situ, Dr Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat telah memberi taklimat tentang acara perhimpunan.
Selepas taklimat dan bacaan doa, baru kami bertolak. Beredar sahaja keluar, rupa-rupanya di luar pagar pasukan FRU bersama lima buah kereta berperisai dan kenderaan meriam air telah mengepung kawasan masjid . Bila pasukan Unit Amal bertindak untuk keluar pagar, diikuti anggota perhimpunan, tiba-tiba sebuah tanker FRU telah menyemburkan "air kimia" yang memedihkan mata. Ini membuatkan suasana menjadi kelam-kabut dengan sorakan takbir dan tangisan kanak-kanak.
Tidak semena-mena, halilintar kuat disertai hujan selebat-lebatnya turun. Senario ini kelihatan menggentarkan pihak polis dan tampak mereka undur, tak pasti sama ada ketakutan atau keletihan.
Rupa-rupanya hanya di Masjid Jamek pihak FRU bersedia untuk bertindak dengan ganas dengan menyembur "air kimia" secara membabi-buta tetapi tidak di kawasan Masjid Negara.
Sebahagian kami termasuk Dr Hatta mengambil keputusan berundur ke jalan belakang dan berkumpul di situ. Dr Hatta bersama dengan beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat merancang strategi baru untuk meneruskan perarakan ke Dataran Merdeka.
Rupa-rupanya bersama saya bukan sahaja orang-orang PAS dan kalangan masyarakat Melayu, malah turut disertai orang awam pelbagai bangsa, khususnya Cina dan India. Pastinya mereka juga sudah tidak tahan dengan karenah pihak berkuasa.
Dalam masa yang sama, pihak polis terus menyembur air asid dan disusuli tembakan gas pemedih mata. Saya sendiri dan rakan-rakan terkena semburan air kimia lalu muntah-muntah dan mata terasa pedih.
Kesan daripada semburan air kimia itu juga membuatkan badan jadi panas dan tidak selesa.
Saya kira mangsa yang paling teruk menjadi mangsa keganasan polis ialah kelompok yang terpecah daripada kumpulan ramai.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, pihak polis terus mengejar dan kami sendiri terpaksa lari menyelamatkan diri. Dr Hatta berteriak menggunakan pembesar suara meniupkan semangat dan berjaya mengumpulkan kembali peserta himpunan yang sedang bercempera meski pun pihak polis terus menerus melakukan serangan ganas.
Ketika itu saya bersama kira-kira 30 orang terperangkap berhadapan dengan polis berhampiran sebuah bank. Walau bagaimanapun kami bernasib baik kerana pihak polis disibukkan dengan kekecohan di seberang jalan, justeru kami sempat melarikan diri dan kembali bersatu dengan kumpulan yang diketuai oleh Dr Hatta.
Dalam masa yang sama seorang kawan yang berkumpul di Masjid India menelefon memaklumkan ada peserta yang dibantai oleh polis berpakaian preman.
Dengan menyusun strategi baru, Dr Hatta berjaya membawa kumpulan seramai lebih 10,000 berarak menuju istana. Dalam perjalanan sejauh 6 kilometer itu, pelbagai slogan telah dilaungkan, antaranya "Daulat Tuanku", "Hidup Rakyat, Hancur Kezaliman." Kebetulan, saya sendiri diberikan alat pelaung suara untuk menjeritkan kalimah-kalimah tersebut.
Memeranjatkan saya apabila pemandu-pemandu di jalan raya yang terdiri daripada pelbagai bangsa telah menunjukkan isyarat menyokong perhimpunan kami.
Sesampai sahaja di Istana Negara, kumpulan perarakan kami mendapat tepukan bergemuruh sambil dilaungkan "Berjaya! Berjaya!" daripada kumpulan yang berada di situ. Kebetulan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menyembahkan memorandum kepada pihak istana.
KISAH KEDUA
Catatan Maslan Ardy
SAYA terkejut dengan pelbagai komen menteri dan pemimpin Umno berhubung perhimpunan aman 10 November Sabtu lalu. Antara lain ialah apa yang disebut oleh Dato' Seri Zainuddin Maidin yang mengatakan rakyat terutama penduduk Lembah Kelang yang kononnya marah dengan peserta himpunan kerana jalan "jam dan sesak".
Saya juga kesal dengan kenyataan yang menggambarkan seolah-olah pihak peserta perhimpunan aman melakukan aksi ganas manakala pihak polis bertindak sebaliknya pula.
Bagi saya, semua ini adalah komen mereka yang tidak turun sendiri ke perhimpunan tersebut dan komen itu berdasarkan prasangka jahat yang tebal. Semua ulasan tersebut "hanya merapu".
Paling menggelikan hati ialah kenyataan daripada Menteri Besar Pahang Dato' Seri Adnan Yaakob yang mencadangkan orang seperti kami -- yang secara perlembagaannya dibenar dan berhak bersuara serta berhimpun secara aman -- dikenakan ISA. Rakyat Pahang tertanya-tanya, adakah negara ini sudah seperti Myanmar?
Suka saya tegaskan bahawa peserta himpunan langsung tidak bertindak ganas malah mereka datang seolah-olah mahu berekreasi dan bersantai.
Sebagai contoh, kawan saya Yusof Kampar datang ke perhimpunan itu membawa tiga orang anak kecilnya. Menolak dakwaan Ketua Polis Negara, semua yang membawa anak-anak tidak pernah terfikir untuk menjadikan anak-anaknya sebagai perisai, tak masuk akal langsung.<> Kami datang bukan dengan tujuan untuk berperang, hanya mahu menyuarakan tuntutan supaya proses pilihan raya dibersihkan. Itu sahaja.
Soalnya, siapa yang sengaja membuat sekatan jalan, menggeledah kereta dan bas serta mencipta suasana untuk menjadi sesak dan kelam-kabut? Peserta himpunan aman atau provokasi pihak polis yang jelas mahu mencari jalan untuk menggagalkan perarakan raksasa itu.
Ketika menaiki bas Transnasional dari Temerloh ke Kuala Lumpur, sepanjang jalan saya melalui enam sekatan jalan raya. Saya berpendapat sekatan oleh polis ini disengajakan untuk mencipta kesesakan.
Dengan demikian, ia akan dapat mengurangkan jumlah kehadiran.
Sekali gus apabila berlaku kesesakan luar biasa itu, diharap akan membangkitkan kemarahan oleh orang ramai dan bila ini berlaku kesalahannya dituding sepenuhnya kepada pembangkang. Itulah propaganda murahan Umno-BN.
Ketika sampai di Kuala Lumpur, sepatutnya saya ke Masjid Jamek bersama peserta dari Pahang. Akan tetapi kerana kawalan dan pengawasan ketat pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), saya menunaikan Solat Zuhur di Masjid India.
Selepas solat itu saya keluar dan sempat menyaksikan kekejaman anggota polis membantai dan menghentam orang ramai yang kebanyakannya tenang berdepan keganasan itu.
Saya diberitahu ada pemuda yang patah kaki ditendang polis yang berpakaian biasa.
Namun hujan lebat yang turun dan halilintar yang tiba-tiba berdentum membelah kota raya tengahari itu seolah-olah menjadi penyelamat, di mana anggota-anggota polis yang mengganas itu mulai kelihatan lemah.
Mungkin juga mereka mulai kelesuan kerana telah dua ke tiga hari bertugas sepenuh tenaga menurut arahan orang atas.
Mula jam 3.30 petang saya sudah berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dibanjiri lauatan manusia yang menyertai perhimpunan aman. Rasanya lebih 5,000 daripadanya kelihatan memakai baju kuning Bersih,akaian yang cukup digeruni.
Di situ saya nampak AJK Perhubungan PAS Pahang Syed Hamid Mohamad dan aktivis politik N. Gobala Krishnan sedang memberi arahan kepada semua peserta yang mulai berasak-asak bergerak ke Istana Negara.
Ketika kumpulan kami berada berhadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis pencegah rusuhan tiba-tiba menerpa dan menyerang. Ini membuatkan kumpulan kami terpecah-pecah. Dalam suasana kelam kabut itu beberapa orang ditangkap.
Beberapa orang disepak terajang oleh polis berpakaian preman dan saya diberitahu akibatnya ada orang awam yang patah kaki. Sementara asap dan semburan air kimia yang ditembak di berhampiran Masjid Jamek telah ditiup angin hingga memedihkan mata ramai orang termasuk yang berada berhampiran pasaraya Mydin.
Sementara itu polis terus membuat kawalan ketat di sepanjang Jalan Raja Laut tapi mereka kelihatan tidak agresif lagi mengganggu perarakan kami.
Saya lihat sebahagian daripada kumpulan yang terpisah dari perarakan diketuai Dr Hatta berkejaran ke stesen LRT bandaraya berhampiran Sogo.
Pengalaman menyertai banyak banyak kali demostrasi dan perhimpunan membantu saya menjadi lebih cekap menangani keadaan. Sebaik saja saya terlepas daripada kepungan polis, terus bergegas menaiki komuter ke Istana Negara dan saya tiba hampir jam 5 petang. Perhimpunan di sana rupa-rupanya sudah berakhir dan sahabat-sahabat yang menyertai perhimpunan mulai beredar.
Saya pun mencari kawan-kawan dari Temerloh yang terpisah sejak digempur polis pencegah rusuhan dari awal-awal lagi.
Sesungguhnya pengalaman ini begitu menyeronokkan!
No comments:
Post a Comment