Sun | Nov 11, 07 | 6:48:07 am MYT
Malang sungguh, sekitar 4000 anggota polis dikerahkan hanya untuk menghalang, menyekat dan menahan sesiapa sahaja orang awam yang menyertai himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Lebih parah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini menyatakan 4000 anggotanya akan dikerah bagi menyekat himpunan anjuran Bersih yang dikatakan 'haram'.
Dalam perhimpunan semalam lebih 30 orang ditahan dan dibebaskan lewat malam tadi, dan inilah kerja utama polis semalam yang menyebabkan suasana Kuala Lumpur menjadi sebuah 'Bandaraya Polis'.
Sekatan demi sekatan diadakan di setiap jalan masuk ke Kuala Lumpur dari pelbagai arah, Utara, Selatan dan Timur menyebabkan kesesakan luar biasa berlaku meskipun Sabtu adalah hari cuti.
Inilah kerja yang sangat penting yang diamanahkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy Jamaluddin dalam Himpunan Agung Umno 2007 yang lalu kepada pihak polis.
Menahan dan bertindak tegas kepada peserta himpunan, walaupun peserta tidak memulakan provokasi atau bertindak ganas inilah arahan dari seorang penggemar satu perkataan menarik 'beruk'.
Akhirnya, akibat kepenatan polis yang sibuk mengawal ibu kota Kuala Lumpur dari 'Gelombang Kuning', Mat Rempit menghiasai jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur lewat malam tadi.
Penulis yang baru sahaja pulang dari ceramah perdana di Taman Melewar terkejut dengan aksi berani lebih 50 mat rempit yang berlumba di Bulatan Jalan Pahang pada jam 12.30 malam tadi.
Aksi-aksi 'corner baring' hingga 'paddle' peletak kaki mengguris permukaan jalan memercikkan serpihan api dipertontonkan mat-mat rempit.
Rata-ratanya memunggah anak-anak dara entah sunti atau tidak lagi, membonceng motor mereka untuk berseronok tanpa memikirkan bahaya yang akan dihadapi.
Tatkala aksi mat rempit semakin berani, tiada seorang pun anggota polis berada di situ hingga jam menunjukkan 1.30 pagi bagi mengambil tindakan.
Aksi yang ditunjukkan mat rempit itu menyebabkan banyak kereta terpaksa berhati-hati dan takut untuk memasuki Bulatan Pahang untuk menuju ke Bandaraya, Jalan Tun Razak dan Petaling Jaya serta Gombak.
Mungkin kerana polis terlalu penat dan terlena kerana 'mengerjakan' orang awam yang berhimpun dalam hujan lebat petang semalam.
Teringat penulis kepada tindakan FRU dan polis menggunakan 'water cannon' serta gas pemedih mata bagi menyurai dan menghalang demonstran melintasi jalan dari Jalan Masjid India ke Istana Negara hingga ramai yang terkena tembakan gas itu.
Sedangkan demonstran tidak pun mengganggu ketenteraman awam selain memusnahkan harta benda awam.
Alangkah baik jika polis atau pasukan anti perusuh ini melancarkan gas pemedih mata dan 'water cannon' bagi menyuraikan pelumbaan haram dan aksi biadap mat-mat rempit ini.
Selaku Pemuda Umno yang kononnya sayangkan bangsanya, Khairy perlu menyatakan pandangan kepada polis supaya bertindak keras kepada Mat Rempit yang 'terjal' ini.
Khairy sendiri seharusnya membuat kenyataan menggantikan bapa mertuanya, dengan menyatakan bahawa, "beliau pantang dicabar oleh Mat Rempit, beliau akan merempit juga akhirnya," kata seorang rakan.
Sebelum ini bapa mertua Khairy sendiri dalam Perbahasan Penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno 2007 menyatakan beliau pantang dicabar.
Sama-samalah kita fikirkan sejenak! - mks.
No comments:
Post a Comment