Sun | Nov 11, 07 | 1:08:48 am MYT
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Hrkh) - Segagah mana atau selantang mana sekalipun, akhirnya amaran keras dan amanat tegas Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ternyata lemah dan gagal menggugat semangat rakyat untuk terus bangkit menyertai Himpunan Rakyat semalam biar apa jua rintangan serta ugutan yang mendatang.
Rakyat hanya punya satu matlamat bahawa Malaysia mesti mengamalkan demokrasi yang berada di landasan benar dan sebuah pilihan raya adil yang tidak disalahguna dan dirosakkan oleh kerajaan BN yang ada selama ini dan suara rakyat ini akhirnya berjaya disampaikan ke pengetahuan Istana Negara.
"Di mana Pak Lah nak letak muka dia," demikian soal AJK Bersih, Anuar Tahir ketika berucap di Taman Melewar semalam di samping memberi penjelasan kepada orang ramai situasi terkini yang berlaku pada sebelah petangnya.
"Dia kata pantang dicabar. Yang lebih layak berkata ialah rakyat lagi pantang dicabar haknya!
"Dan terbukti bahawa rakyat telah berjaya mencabar untuk menunjukkan bahawa mereka berjaya melakukan himpunan secara aman dan mahu sebuah demokrasi yang bersih!," katanya di atas beranda bumbung Markas mengadap kira-kira 2,000 hadirin yang mendengar ceramah.
Katanya biarpun telah berlaku insiden tidak diingini, seperti polis melepaskan gas pemedih mata dan menyuraikan orang ramai secara kasar namun para peserta himpunan dan rakyat tetap bersabar dan mematuhi undang-undang termasuk taat kepada arahan pimpinan.
"Tiada berlaku provokasi oleh orang ramai malah tangkapan yang dilakukan polis kerana mereka ingin menyertai himpunan menuju ke arah Istana Negara,"katanya.
"Sebenarnya, rakyat yang boleh mendisplinkan polis!" katanya lantang dan berbangga dengan semangat, disiplin dan kesabaran yang ditunjukkan semua para peserta khususnya rakyat yang datang daripada luar Kuala Lumpur.
Katanya lagi rakyat tidak boleh dipermainkan dan diperbodohkan malah masanya amat tepat kerana rakyat mahu mengadu kepada institusi yang paling atas dalam negara iaitu Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana tidak percaya kepada kerajaan yang sedia ada supaya dapat dilakukan perubahan kepada negara yang mengalami pelbagai kepincangan dari sudut ekonomi, jenayah, rasuah dan salah guna kuasa.
"Jangan main-main dengan rakyat. Sekali lagi kita dipermainkan, kita akan turun lagi di jalan raya," katanya.
Turut menyampai ceramah utama ialah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ronnie Liu (DAP) dan beberapa pimpinan politik dan NGO yang lain. - mks.
No comments:
Post a Comment