Sunday, November 11, 2007

Bendahari Umno pertama meninggal

GEORGETOWN: Seorang pemimpin veteran Umno, Datuk Syed Murtaza Aidid Syed Mohdar Aidid, meninggal dunia kerana sakit tua di kediamannya di Solok Pemancar, Gelugor di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Allahyarham Syed Murtaza Aidid, 106, atau lebih dikenali sebagai SM Aidid yang juga bekas Ketua Umno Pulau Pinang pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam Umno termasuk sebagai Bendahari Umno pertama .

Isteri Allahyarham yang dikenali sebagai Fatimah sudah 20 tahun meninggal dunia.

Allahyarham SM Aidid meninggalkan seorang anak lelaki, Pengerusi Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM), Datuk Syed Mohamad Aidid dan tiga anak perempuan.

Allahyarham yang banyak memegang pelbagai jawatan dalam Umno, kerajaan, persatuan dan perniagaan, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Tetamu kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Ketika hayatnya, SM Aidid pernah menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Malaya, Naib Ketua Umno Bahagian Pulau Pinang dan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Umno negeri.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Majls Mesyuarat Undangan Persekutuan, Ahli Majlis Mesyuarat Undangan negeri, Ahli Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Ahli Majlis Muhibbah negeri.

Dalam bidang kemasyarakatan dan kebajikan, Allahyarham pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Persatuan Melayu Pulau Pinang, Yang Dipertua Persatuan Jepun Malaysia dan Naib Pengerusi Pertubuhan Palang Merah Pulau Pinang.

No comments: