KUALA LUMPUR: Umno mungkin menggunakan istilah rasuah politik bagi menggantikan politik wang bagi menekankan keburukan amalan itu di kalangan ahlinya, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Pengurusan Umno akan memberikan tafsiran lebih jelas mengenai perbezaan rasuah politik dan politik wang pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) tidak lama lagi.
"Jawatankuasa ini memikirkan istilah rasuah politik lebih jelas kerana ada elemen rasuah yang ditekankan. Kalau guna istilah politik wang orang akan anggap ia satu amalan politik,
"Rasuah politik agak lebih besar, mungkin meletakkan ahli dalam keadaan yang lebih berjaga-jaga bagi mengelak dan menjauhkan perkara yang boleh menyebabkan mereka dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin.
"Itu istilah, apapun kita akan membentangkan kepada MT sama ada setuju atau tidak... istilah satu hal tapi tafsiran lebih jelas, ada yang kata ada kaitan dengan Akta Rasuah.
"Tata etika pemilihan sudah digubal dulu masa Perhimpunan Agung Khas untuk menangani masalah politik wang,� katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Bukit Damansara, semalam.
Langkah meminda etika pemilihan Umno dilaksanakan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Pengurusan parti selepas perhimpunan agung lalu, susulan permintaan supaya beberapa peraturan berhubung pemilihan parti dikaji semula.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Pengurusan Umno berkata, cadangan pindaan berkaitan tata etika itu lebih kemas dengan contoh berbanding sebelum ini supaya semua ahli faham apa yang boleh dan sebaliknya.
Katanya, cara bagaimana Umno menguruskan wang dan bagaimana ahli boleh menyumbang kepada parti dalam bentuk wang dan pertolongan turut diberi penekanan.
"Pada Umno sebagai parti politik, kita memerlukan wang untuk bergerak bagi menjalankan pelbagai program, kalau tidak ada duit tak boleh �menguak�. Itu perlu diperjelaskan, contoh orang itu dapat kontrak dan dapat untung, dia nak memberi kepada Umno.
"Cara mana nak beri, sama ada beri kepada ahli seorang, atau panggil ketua cawangan beri RM1,000 atau serah kepada bahagian, serah kepada ibu pejabat, Umno negeri. Boleh cari begini, kalau buat cara lain boleh ditafsir sebagai pancing undi untuk dapat sokongan, itu sudah ditafsir salah.
"Jadi ini tidak tahu belum lagi diputuskan boleh atau tidak kerana dalam keadaan tidak berkempen, orang curi-curi kempen juga. Malah, ada majlis yang ditaja badan perhubungan negeri dibuat kerana perhubungan nak jumpa, boleh dibuat formal dalam bentuk terkawal," katanya.
Mengenai Perdana Menteri yang belum mendapat ilham tarikh pilihan raya, Muhyiddin berkata: �Saya cuma nak beritahu bila Presiden kata dia belum dapat ilham, biasa yang lepas-lepas dia dah dapat ilham tapi belum nak umumkan."
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment