SUNGAI SIPUT 10 Nov. – Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menolak kemungkinan parti politik terbesar yang mewakili masyarakat India di Malaysia akan berdamai dan kembali menjalin hubungan baik dengan Parti Progresif Penduduk (PPP) pimpinan Datuk M. Kayveas selepas mereka saling cabar-mencabar dan kutuk-mengutuk sejak lebih sebulan lalu.
Samy Vellu, yang jelas berang apabila diajukan soalan berkaitan PPP, menegaskan hasrat untuk melihat kedua-dua parti dan pemimpin parti itu berbaik semula adalah seperti meletakkan harapan DAP berbaik dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjalin hubungan baik dengan Parti Islam SeMalaysia (Pas).
“Bolehkah DAP berbaik dengan BN? Saya nak tanya, bolehkan UMNO berbaik dengan Pas? Ia (PPP) adalah lebih teruk daripada Pas,” tegasnya, lalu bingkas meninggalkan sidang akhbar selepas merasmikan program Merakyatkan Seni Budaya Parlimen Sungai Siput di Kampung Trosor dekat sini hari ini.
Terdahulu, Anggota Parlimen Sungai Siput itu juga enggan mengulas sama ada beliau bersedia menemui Kayveas bagi menyelesaikan pertelagahan terbuka antara kedua-dua parti itu.
– Bernama
No comments:
Post a Comment