Sunday, November 11, 2007

BPR boleh siasat ahli UMNO amal rasuah politik – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Pemimpin dan ahli UMNO yang bersalah mengamalkan rasuah politik dalam pemilihan parti akan datang akan disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengikut Akta Rasuah.

Ia merupakan antara pindaan terhadap tataetika ahli parti yang bakal dibentangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk diluluskan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Pindaan Perlembagaan UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan tersebut sekiranya diluluskan akan memberi implikasi lebih besar sehingga meletakkan ahli parti sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengelak amalan-amalan yang boleh dianggap rasuah.

Justeru, jawatankuasa yang dipengerusikan beliau mencadangkan supaya istilah ‘rasuah politik’ digunakan bagi menggantikan ‘politik wang’ kerana ia lebih jelas dan mengandungi elemen-elemen rasuah.

“Apa pun kita akan bentangkan pada MT sama ada ia setuju dengan istilah ini atau kekalkan yang lama.

“Namun, sekiranya dipersetujui ia mempunyai tafsiran yang lebih meluas sehingga ada pihak yang mengatakan ia mungkin ada hubung kait dengan Akta Rasuah,” katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Muhyiddin memberitahu, penggunaan wang dalam parti perlu diperjelaskan secara terperinci kepada semua ahli bagi mengelak salah faham sehingga boleh menjejaskan jentera UMNO.

Ini kerana katanya, UMNO seperti juga mana-mana politik lain memerlukan wang untuk menjalankan pelbagai aktiviti.

Bagaimanapun, tambah beliau, pindaan yang dilakukan terhadap tataetika tersebut tidak akan menjejaskan kerancakan kempen semasa pemilihan sebaliknya menjadikan pengurusan parti lebih kemas dan tersusun.

– Bernama

No comments: