Sunday, November 11, 2007

Bekas bendahari pertama UMNO meninggal dunia

PULAU PINANG 10 Nov. – Bekas bendahari pertama UMNO Malaya, Datuk Syed Murtaza Aidid Syed Mohdar Aidid menghembuskan meninggal dunia di rumahnya di Solok Pemancar, Bukit Gelugor di sini, awal pagi ini.

Allahyarham Syed Murtaza Aidid berumur 105 tahun.

Beliau yang juga bekas Pengarah Utusan Melayu Berhad dan Warta Negara Berhad Pulau Pinang meninggal dunia ketika dalam tidur kira-kira pukul 4.30 pagi.

Dilahirkan pada 4 Disember 1906 di Gelugor di sini, Allahyarham meninggalkan empat orang anak, Hanim, Sharifah Berlian, Sharifah Intan dan Syed Mohd. Aidid.

Anak bongsu Allahyarham, Datuk Syed Mohd. Aidid berkata, bapanya merupakan seorang yang sihat serta tiada masalah kesihatan.

“Beliau menghembuskan nafas terakhir awal pagi ini di sisi anak-anaknya serta saudara mara terdekat.

“Ayah merupakan seorang yang cukup mementingkan disiplin malah beliau juga aktif dalam membuat kebajikan dan pemergiannya merupakan satu kehilangan yang cukup besar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Tambah beliau, jenazah disembahyangkan di Masjid Hashim Yahaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini selepas solat Asar.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta tokoh-tokoh korporat yang lain.

Allahyarham Syed Murtaza Aidid merupakan seorang ahli politik yang aktif dan beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam parti antaranya Ahli Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa UMNO Malaya; Naib Ketua UMNO Bahagian Pulau Pinang; Pengerusi Jawatankuasa Kewangan UMNO Pulau Pinang dan Ketua UMNO negeri Pulau Pinang dari tahun 1946 hingga 1950.

No comments: