Sunday, November 11, 2007

Tuntutan tambah kerusi berasas

Oleh Saufi Hamzah


RAI TETAMU: Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman meraikan tetamu yang hadir di rumah terbuka mereka di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Tuntutan Wanita Umno yang mahukan lebih banyak kerusi diberikan kepada wakil pergerakan itu pada pilihan raya umum akan datang adalah wajar dan berasas, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, parti itu menyedari wanita memainkan peranan amat penting terhadap pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

“Selain sudah berada lama dalam parti, ahli pergerakan itu juga berpendidikan tinggi, berkelayakan dan berpengalaman.


“Sumbangan besar Wanita bukan saja kepada pergerakan itu tapi kepada Umno dan masyarakat Melayu. Pada setiap pilihan raya Wanita bekerja keras dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi membantu jentera pilihan raya bukan saja untuk Umno tapi juga Barisan Nasional (BN).

“Apapun bagi saya, itu satu pandangan yang patut diberi perhatian. Berdasarkan kepada prinsip yang biasa, itu hak wanita dan tentu wanita rasa sudah sampai masa mereka boleh berperanan lebih,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Bukit Damansara, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mengulas tuntutan terbuka Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz supaya pucuk pimpinan memberikan lebih banyak kerusi kepada wakil pergerakan itu pada pilihan raya umum akan datang.


Rafidah berkata, wanita berhak mendapat lebih kerusi kerana jumlah keahlian pergerakan itu adalah yang tertinggi berbanding cabang pergerakan lain dalam parti.

Mengikut statistik terbaru, ahli Umno keseluruhan berjumlah 3,349,280 yang terbesar berbanding parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN). Daripada jumlah itu, ahli biasa lelaki 1,027,463 atau 30.6 peratus, manakala wanita 1,199,521 (35.8 peratus), Pemuda 704,758 (21 peratus) dan Puteri 417,538 (12.4 peratus)

Muhyiddin berkata, Rafidah membawa mandat selepas persidangan Wanita untuk menyuarakan tuntutan berkenaan dan beliau (Rafidah) menunaikan tanggungjawabnya.

“Jadi bagi saya tak ada salah, saya tak fikir Presiden Umno rasa tertekan dengan keadaan begitu, itu hak wanita, dia nak bersuara, saya pasti tahu Presiden akan mengambil kira.

“Dia nak suarakan hasrat dia kerana berpendapat seperti yang diputuskan pergerakan wanita untuk memastikan ada satu penyertaan adil atau yang berpatutan wanita pada semua peringkat.

“Saya pasti tahu, Rafidah pun tahu dengan membawa perkara itu ke Perhimpunan Umno ada signifikan, kerana nak beri satu kekuatan kepada tuntutannya,” katanya.

Muhyiddin berkata, cuma daripada soal prinsip sama ada sesiapa yang dipilih sebagai calon biasanya keputusan dibuat oleh Presiden parti bukan saja untuk Wanita tetapi untuk Umno dan parti lain dalam komponen BN.

“Saya fikir Presiden yang hadir dan mendengar tuntutan itu dan sudah tentu buat pertimbangan yang saksama atas dasar situasi, tempat, kesesuaian calon, penerimaan pengundi dan macam-macam perkara yang diambil kira. Kita serah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan mengenai perkara ini,” katanya.

No comments: