Sunday, November 11, 2007

Peserta perhimpunan haram agresif

Oleh Ifwan Tun Tuah

KUALA LUMPUR: Polis terpaksa menggunakan semburan air serta gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang bertindak agresif di ibu negara semalam.

Tindakan itu terpaksa diambil kira-kira jam 2.30 petang selepas arahan bersurai tidak diendahkan, sebaliknya peserta perhimpunan yang sebelum itu berkumpul di Masjid Jamek, Kompleks Beli-Belah Sogo dan Masjid Negara mula menolak anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang menyekat laluan ke Dataran Merdeka.

Perhimpunan terbabit diharamkan selepas polis menolak permohonan permit oleh penganjurnya, kerana faktor keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara.

Polis juga mengadakan sekatan jalan raya di pelbagai lokasi untuk memeriksa kenderaan yang masuk ke pusat bandar dan keadaan sesak di beberapa jalan utama.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis membebaskan 245 orang yang ditahan kerana menyertai perhimpunan haram di sekitar pusat bandar semalam selepas keterangan mereka diambil.

Mengikut anggaran polis, katanya sekitar 4,000 orang berhimpun secara haram di sekitar pekarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek dan polis berjaya meleraikan mereka dengan menggunakan gas pemedih mata dan penyembur air.

Musa berkata demikian ketika mengulas perhimpunan haram itu yang dianjurkan 26 badan bukan kerajaan (NGO) dan disertai parti pembangkang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di negara ini kepada Istana Negara.

Polis terpaksa bertindak demikian kerana mereka enggan bersurai selepas diarahkan dan terpaksa menahan 245 orang bagaimanapun polis tidak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.

Penganjur itu mensasarkan seramai 100,000 orang akan menyertai perhimpunan itu.

Sebelum itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; isterinya, Datin Seri Wan Azizah; Setiausaha Agung parti, Tan Sri Khalid Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara kira-kira jam 4 petang.

No comments: