Monday, October 29, 2007

Lebih 40 NGO akan turut serta dalam himpunan 100 ribu

Salmiyah Harun
Mon | Oct 29, 07 | 4:16:51 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Lebih 40 NGO memberi komitmen untuk turut serta berhimpun dan berarak di Himpunan Aman Rakyat pada 10 November nanti bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Hingga kini boleh dikatakan hampir setiap hari mereka bermesyuarat dan mengadakan pertemuan-pertemuan, di samping turun menjelajah ke seluruh negara untuk memobilisasi rakyat untuk turun beramai-ramai pada hari tersebut.

Jurucakap Bersih, Dr Syed Azman Syed Nawawi ketika dihubungi berkata, selain NGO semestinya parti politik yang akan membarisi perhimpunan itu iaitu PAS, Keadilan dan DAP.

"Komitmen menyeluruh daripada parti-parti pembangkang dan juga NGO amat memberangsangkan untuk sama-sama turun berhimpun pada Sabtu nanti," katanya.

Beliau juga turut memberitahu, pimpinan utama setiap parti akan mengepalai perhimpunan itu seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun beliau berkata, sebelum perhimpunan berlangsung wakil Bersih akan bertemu dengan pihak polis untuk memaklumkan kepada mereka tentang himpunan itu.

"Kita akan maklumkan kepada mereka terlebih dahulu sebelum perhimpunan itu diadakan," katanya.

Perhimpunan 100,000 diadakan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta akan berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam tiga petang dan kemudiannya akan berarak sejauh tiga kilometer ke Istana Negara sejam selepas itu. - mks.

No comments: