KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Tan Sri Law Hieng Ding hari ini mengumumkan di Dewan Rakyat hasratnya untuk bersara daripada bidang politik setelah berkhidmat selama 43 tahun.
Law, 72, berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sarikei di Sarawak yang diwakilinya sejak 1982 pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya akan bersara atas pilihan sendiri bagi memberi laluan kepada golongan muda,” katanya ketika menyertai perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2008.
Pengumuman Law itu mendorong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Lim Si Cheng, yang mempengerusikan persidangan pada masa itu secara berseloroh bertanya sama ada ucapan itu dibuat kerana Law sudah tahu tarikh pilihan raya umum akan datang.
Sambil tersenyum Law menjawab beliau tidak mengetahui bila pilihan raya umum ke-12 akan berlangsung tetapi mengambil peluang itu kerana khuatir tidak berpeluang membuat ucapan perpisahan di masa akan datang.
Dalam perbahasannya beliau menyentuh pelbagai aspek termasuk isu-isu perpaduan bangsa, pendidikan, ekonomi, kekuatan parti serta sejarah selain impian dan harapannya dalam bidang politik.
Law berkata selaku seorang veteran dalam Barisan Nasional, beliau berharap rakan-rakan anggota parlimen terutamanya pemimpin muda supaya sering turun padang dan tidak berasa angkuh dengan gelaran wakil rakyat.
“Jangan bersikap sombong kepada rakyat pada bila-bila masa pun. Sebaliknya sentiasa bersedia untuk menerima kritikan daripada rakyat seperti mana bersedia menerima kepujian,” katanya,
Ketika ditemui di lobi parlimen kemudiannya, Law berkata beliau sudah menyatakan hasratnya untuk bersara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi setakat ini belum menyerahkan sebarang surat rasmi berhubung perkara itu.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu berkata hasrat untuk bersara dari bidang politik sudah lama difikirkan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khidmatnya masih diperlukan dalam parti dan kerajaan.
“Saya pernah suarakan kepada (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pilihan raya 1999, dengan alasan umur, tetapi Dr Mahathir tanya berapa umur saya, dibanding dengan umur dia. Dia kata memandangkan dia belum bersara, dia tolak niat saya.
“Begitu juga pada 2004, hasrat saya untuk bersara terpaksa ditangguhkan sebab tidak dipersetujui pemimpin parti,” katanya.
Law berkata memandangkan pilihan raya umum sudah semakin hampir, cabaran sekarang ialah untuk mencari penggantinya yang boleh diterima oleh masyarakat di kawasan itu.
Bapa kepada tiga anak dan tujuh cucu itu turut mengakui niat untuk bersara disambut gambira keluarganya. — Bernama
No comments:
Post a Comment