Monday, October 29, 2007

Laporan pakar kesahihan klip video diserah hari ini

Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyerahkan laporan hasil kajian seorang pakar tempatan mengenai ketulenan rakaman klip video perbualan seorang peguam kanan dan seorang hakim kepada panel bebas khas yang akan bermesyuarat esok.

Ketua panel itu, Tan Sri Haidar Mohd. Noor berkata, laporan tersebut disediakan oleh pakar berkenaan yang dilantik oleh BPR untuk mengkaji kesahihan klip video tersebut walaupun ia telah disunting.

Beliau yang juga bekas Hakim Besar Malaya berkata, pihaknya turut meminta BPR mengarahkan pakar berkenaan bersedia bagi membolehkan ahli-ahli panel menjalankan sesi soal jawab berhubung laporan yang disediakannya.

Haidar menjelaskan, selain bergantung kepada laporan yang disediakan, pandangan saintifik pakar berkenaan amat penting bagi membantu panel menentukan kesahihan klip video tersebut.

‘‘Mesyuarat akan tetap berlangsung esok walaupun hingga kini tiada pihak yang menyerahkan rakaman asal klip video tersebut.

“Panel memerlukan masa untuk mengkaji laporan pakar yang dilantik oleh BPR itu sebelum menentukan ketulenan klip video,’’ kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Haidar ditanya perkembangan panel khas yang akan bermesyuarat esok di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), di tingkat 30, Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut, di sini.

Turut menganggotai panel berkenaan ialah aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Pada 18 Oktober lalu, Haidar memberitahu, mesyuarat kedua semalam (27 Oktober) terpaksa ditangguhkan kerana sehingga kini orang ramai masih ‘senyap’ daripada memberi sebarang kerjasama atau maklumat mengenai klip video tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menangguhkan lagi mesyuarat panel kerana tindakan itu membawa kesan buruk kepada imej dan kewibawaan panel berkenaan yang ditubuhkan pada 25 September lalu.

Menurut beliau, panel itu diberi tempoh selama 30 hari bekerja iaitu sehingga 8 November ini untuk menjalankan tugasnya sebelum dikehendaki menyerahkan laporan kepada kerajaan mengenai pengesahan rakaman klip video tersebut.

Ditanya sama ada panel akan memohon lanjutan masa jika laporan itu gagal diserahkan dalam tempoh yang ditetapkan, Haidar berkata, pihaknya akan melihat dahulu sama ada panel bersedia untuk menyatakan sebarang pendapat dalam laporan itu.

“Jika tidak, kami akan memohon tempoh penyerahan laporan itu dilanjutkan,’’ katanya.

No comments: