Monday, October 29, 2007

Jika Wan Farid dilantik jadi MB T'ganu, itu petanda Idris Jusoh gagal

Intan Abdullah
Mon | Oct 29, 07 | 4:32:10 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Desas-desus yang kuat menyatakan Senator Dato' Wan Ahamd Farid Wan Salleh akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang, Kuala Terengganu berkemungkinan besar menggantikan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu adalah bukti yang jelas bahawa Idris gagal menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Jika sekiranya dakwaan tersebut benar, ini membuktikan bahawa kerajaan Terengganu pimpinan Idris Jusoh selama ini telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka mentadbir Terengganu," kata Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Tegasnya, ia adalah natijah daripada tindakan Idris yang merampas kuasa pemerintahan di Terengganu daripada PAS secara kotor dan jelas menyeleweng pada pilihanraya umum yang lalu.

Ustaz Hadi berkata, pelancaran Koridor pembangunan Pantai Timur (ECER) tidak lebih sekadar mengulangi kesilapan Umno-BN yang lalu dengan peruntukan kewangan yang besar untuk diagihkan kepada kroni-kroni mereka yang membantu dalam pilihan raya umum.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan BN yang secara tradisinya menggunakan taktik politik kotor termasuk membuat propaganda yang bertujuan untuk memusnahkan masa depan politik orang Melayu di tanah air ini.

"Namun, masalah yang timbul adalah penyuburan media yang bebas kini telah dikongkong sehingga menyukarkan penyampaian maklumat.

Bagaimanapun, PAS tetap bersabar dan mengambil tanggungjawab ini," tegasnya

Katanya, PAS tidak akan berhentu membicarakan soal penafian hak oleh BN, untuk akses kepada maklumat, sebagaimana yang sedang dituntut oleh Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sekarang ini.

Ustaz Hadi mendakwa kerajaan Terengganu yang diterajui Umno-BN bukan dilantik hasil sokongan padu rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2004.

Katanya, hal ini diakui sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malangnya media dihalang daripada menyiarkan maklumat tersebut kepada umum.

Katanya, hasil post mortem PRU ke-11 yang lalu, terdapat peningkatan undi PAS di beberapa kawasan di Terengganu. Bahkan peratusan keluar mengundi juga meningkat kepada 90 peratus.

Jentera Pilihanraya PAS Terengganu juga akan meneruskan gerakerja bagi memastikan pilihanraya umum akan datang berlangsung dengan aman dan telus, ujar beliau. - mr

No comments: