Monday, October 29, 2007

Tepis khabar angin yang berniat gagalkan perhimpunan 10 November

Intan Abdullah
Mon | Oct 29, 07 | 1:53:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mahu semua ahli dan penggerak parti menepis desas desus yang menyatakan bahawa sesetengah pimpinan parti enggan untuk turut sama dalam perhimpunan rakyat anjuran Gabungan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November ini.

Menurutnya, ia adalah salah satu daripada usaha pihak tertentu mahu menggagalkan perhimpunan raksasa rakyat, bagi menyerahkan memorandum tuntutan pilihan raya bersih dan adil kepada DYMM Yang diPertuan Agong di Istana Negara selepas berarak daripada Dataran Merdeka bermula jam 3 petang.

"Saya yakin hal ini dilakukan oleh mereka yang lemah iman mereka, namun kita tidak perlu mempedulikan apa yang mereka katakan kerana ia boleh mengundang perpecahan di kalangan kita," katanya ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS, semalam.

Tambahnya lagi, setakat ini sudah ada negeri-negeri yang telah memaklumkan jumlah penyertaan perhimpunan itu selepas mengadakan 'exercise' bagi menghadapi program tersebut dengan mengadakan program ijtima' di peringkat negeri masing-masing.

"Tidak timbul masalah tiada arahan secara khusus oleh pimpinan atasan kepada ahli sebagai kerahan mereka untuk turun, kerana kita sebelum ini telah memaklumkannya beberapa kali di dalam setiap kali program yang dijalankan sebagai penegasan kepada perkara tersebut," tegasnya menjawab dakwaan sesetengah pihak.

Sementara itu, Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah pula berpendapat bahawa sesiapa yang tidak turun sama dalam perhimpunan tersebut dianggap sebagai tidak mengetahui apa-apa perkembangan yang berlaku dalam negara.

"Pencinta keadilan, terutamanya wanita khususnya harus turut sama dan memahami tujuan sebenar penganjuran perhimpunan tersebut di samping menghayati mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat di luar sana," katanya ketika ditemui di majlis yang sama.

Beliau menjangkakan seramai 50,000 orang akan hadir pada 10 November ini sebagai tanda sokongan kepadan tuntutan yang akan disampaikan nanti.

"Rakyat di negara-negara Asia Tenggara lain telahpun bangkit menentang segala penyelewengan dan salah laku pimpinan yang berlaku dalam negara mereka. Sekarang adalah masanya untuk rakyat untuk bangun menentang segala kelemahan ini," katanya.

Tambahnya, daripada empat tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih, hanya satu sahaja yang diterima oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, Bersih kini lebih menumpukan tuntutan mereka untuk mendapatkan hak untuk akses kepada media yang sama rata dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Athirah yang juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa perhimpunan Rakyat menjelaskan bahawa mereka masih mengadakan roadshow untuk memastikan kerahan dan penyertaan rakyat secara maksimum dalam perhimpunan itu nanti. - mns

No comments: