SEREMBAN 28 Okt. – Para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO diingatkan supaya tidak menyentuh isu berkaitan sensitiviti kaum dalam perbahasan yang akan berlangsung sepanjang persidangan itu pada minggu depan.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, semua pihak harus berwaspada dan jangan keterlaluan dalam keghairahan membahaskan agenda parti dan bangsa.
“Pada Perhimpunan Agung UMNO ini, kita berharap dapat memberi tumpuan penuh kepada persiapan untuk pilihan raya umum yang akan datang tanpa menyentuh isu berkaitan dengan sensitiviti kaum lain.
“Kita harus berwaspada, jangan keterlaluan kerana kita pun kena memahami sensitiviti kaum yang lain di samping kita memperjuangkan agenda Melayu dan sebagainya sehingga mengguris hati orang lain,” katanya.
Beliau ditemui selepas membentangkan kertas kerja pada Bengkel Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007, di sini hari ini.
Tambah Khairy, perwakilan boleh memilih pendekatan terbaik dan penuh hikmah bagi menyampaikan agenda yang diperjuangkan tanpa menyakiti perasaan dan menimbulkan kemarahan pihak lain.
“Kita perlu tahu yang kita berjuang bersama, dalam barisan yang sama, bersama dengan parti-parti yang lain dan kita tidak boleh menggunakan alasan agenda Melayu kerana mereka (parti-parti BN yang lain) menganggap UMNO ini adalah parti peneraju BN yang mewakili semua golongan rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan dasarnya dijangka menyentuh mengenai persiapan sayap parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum dengan turut memberi penekanan kepada pencapaian Pemuda dalam tempoh lima tahun lalu.
“Dalam tempoh tersebut, Pemuda telah berjaya membina satu institusi yang kukuh dan bersatu padu di bawah kepimpinan beliau dan saya rasa elok untuk generasi pemimpin pelapis yang akan datang melihat pencapaian kita dan bagaimana kita boleh mengukuhkan Pemuda dan perjuangan pergerakan ini pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment