Mon | Oct 29, 07 | 10:55:47 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - PAS akan menambahkan bilangan calon wanita dari kalangan muslimah yang berketerampilan, pada pilihan raya umum yang akan datang kata Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, langkah tersebut bukanlah perkara baru memandangkan parti itu pernah meletakkan calon wanita dan menang dalam pilihanraya umum yang pertama pada tahun 1955.
"Jika sekiranya mereka (calon wanita tersebut) tidak berjaya dalam pilihan raya, mereka akan tetap dilantik memegang beberapa jawatan tertentu di peringkat daerah atau perbandaran," ujar beliau ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di Taman Melewar semalam.
Katanya, calon-calon yang dilantik adalah berdasarkan keperluan kawasan, dewan undangan negeri atau parlimen setelah dinilai oleh Majlis Syura Ulama' dengan mengambil kira kriteria tertentu.
Ustaz Hadi turut menyatakan, kedudukan jentera pilihan raya PAS kini berada dalam situasi bersiap sedia sekiranya pilihan raya akan diadakan dalam tempoh yang terdekat.
"Meskipun kita berdepan dengan keadaan demokrasi yang begitu teruk, namun jentera kita tetap bersiap sedia daripada awal untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan," tegasnya lagi.
Katanya, ini termasuk gerak kerja di peringkat penerangan, serta dewan-dewan selain jabatan pilihan raya bagi memastikan segalanya berada dalam keadaan bersedia sepanjang masa.
"Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar walaupun ada kekangan, insya Allah kita akan memperhalusi perkara ini dengan teliti seterusnya mengatur langkah yang sewajarnya untuk memperlengkapkan segala strategi supaya ia lebih baik daripada sebelum ini," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan berhadapan dengan suatu bentuk penyelewengan dalam PRU akan datang berdasarkan pengalaman yang dihadapi sebelum ini.
"Bahkan kita dapat lihat demokrasi di negara lain lebih baik daripada negara sendiri, yang memberikan ruang kepada pembangkang mereka untuk menyatakan pendapat dan pandangan untuk dinilai oleh rakyat," ujarnya merujuk kes saman yang dikenakan ke atas akhbar Daily Mirror London yang memfitnah beliau.
Tegasnya, demokrasi di Malaysia kini telah dicabul dengan sistem pentadbiran dan kehakiman yang sudah tidak lagi telus.
"Oleh sebab itu, adalah menjadi kewajipan kepada PAS untuk menyedarkan rakyat akan kepincangan yang berlaku bagi mengelakkan bencana dan bala yang akan ditimpakan Allah jika kita tidak menjalankan kerja-kerja Amar Ma'ruf Nahi Munkar iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran," ulasnya mengenai isu-isu mutakhir ini yang mendedahkan kelemahan pentadbiran kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan, berkata muslimat mempunyai senarai nama calon wanita untuk diketengahkan dalam PRU akan datang.
"Ia menunjukkan bahawa pimpinan memberi peluang kepada muslimat yakni wanita untuk tampil memegang suatu tanggungjawab yang besar dalam negara," katanya semasa ditemui dalam majlis yang sama.
Namun, Wan Hasrina berharap agar calon wanita diberikan kerusi yang tidak begitu 'sukar' untuk ditandingi.
Bercakap mengenai persiapan pilihan raya, beliau menjelaskan bahawa jentera HalWa di setiap peringkat sedang aktif menggerakkan 'grassroot' sebagai persiapan untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
"Kami memperlengkapkan diri setiap muslimat dari segi mental dan fizikal untuk bekerja bagi menghadapi apa jua bentuk cabaran dalam PRU ini memandangkan ada yang menjangkakan ianya akan lebih kuat berdasarkan PRU yang lalu," ujarnya.
Rumah terbuka Aidilfitri PAS berlangsung semalam, menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai yang hadir sehingga mencecah kira-kira 20,000 orang.
Ia turut disambung dengan pelancaran buku Harakah pada sebelah malamnya di tempat yang sama. - mr
No comments:
Post a Comment