Monday, October 29, 2007

'Pita Lingam' : Anwar kata perintah BPR tidak sah!

Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Oct 29, 07 | 8:57:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perintah di bawah Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah 1997 yang diserah Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepadanya 22 Oktober lalu sebagai tidak sah.

"Sekitar jam 3.30 petang (26 Oktober 2007) , peguam saya Tetuan William Leong & Co telah memfailkan satu permohonan di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk satu perintah untuk mengenepikan perintah di bawah seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah 1997 yang diserahkan pada saya pada 22 Oktober lalu untuk menyerahkan kepada BPR naskah asal 14 minit rakaman video 'Pita Lingam'," kata Anwar.

Beliau mengambil pendirian bahawa perintah tersebut adalah tidak sah, tidak munasabah dan tidak rasional.

"Ianya juga berniat jahat (mala fide) kerana saya telah pun memberikan keterangan kepada BPR bahawa naskah asal rakaman video tersebut adalah dalam simpanan pemberi maklumat berkenaan, katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan terkini kontriversi penyerahan 'Pita Lingam'.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya bersedia menyerahkan naskah sahih rakaman yang boleh digunakan untuk mempastikan kesahihannya dan meneruskan dengan siasatan. Malangnya, mereka gagal untuk hadir semalam seperti yang dijanjikan dan berkata mereka akan menghubungi saya segera,"jelas Anwar.

Beliau menggesa BPR supaya menumpukan perhatian menangani isu pokok dengan menyiasat jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepertimana yang didedahkan dalam rakaman video tersebut.

Kaedah sebaiknya adalah dengan penubuhan Suruhanjaya diRaja untuk mempastikan penyiasatan rapi dan teliti, ujarnya.

Terdahulu, Pegawai di Pejabat Anwar, Din Marican dalam satu kenyataannya berkata, sikap kerajaan dibidas kerana sudah hilang hala tuju moralnya dan tidak mungkin boleh diharapkan untuk mendaulatkan undang-undang dalam perlaksanaan undang-undang.

"Saya kagum tetapi tidak hairan bahawa BPR telah memutarbelitkan prosedur dan mengulangi ugutannya untuk mendakwa Penasihat KeADIlan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di bawah Akta Mencegah Rasuah berkaitan siasatan video VK Lingam,"kata Din dalam satu kenyataannya baru-baru ini.

Rakyat harus jelas dengan fakta-fakta kes, pada Khamis, 25 Oktober , jam 11.05am, BPR menghubungi Anwar Ibrahim dan membatalkan temujanji di pejabat Anwar yang terdahulu telah dipersetujui bagi mengambil bahan bukti, kata Din.

"Melalui telefon Anwar bertanya Tuan Sazali bin Salbi, Ketua Pasukan Penyiasatan BPR mengapa temujanji tersebut dibatalkan. Jawapan Sazali adalah bahawa arahan 'datang dari atas' dan menasihatkan Anwar untuk simpan sahaja bukti tersebut. Anwar kemudian diberitahu bahawa temujanji tersebut dibatalkan sehingga makluman seterusnya,"katanya.

KeADILan dengan itu mencabar ketidakadilan yang dilakukan itu, kata Din.

Terdahulu BPR pada 25 Oktober lalu menyatakan bahawa Anwar telah gagal menyerahkan pita rakaman selama 14 minit, namun dibidas banyak pihak kerana kenyataan BPR itu bercanggah dengan apa yang berlaku di pejabat Anwar pada hari yang sama.

Anwar dalam sidang medianya pada hari yang dijanjikan untuk menyerahkan pita rakaman kepada BPR menyatakan, BPR membatalkan temujanji untuk menyerahkan pita itu atas arahan pihak atasan. - mks.

No comments: