Sunday, November 18, 2007

Umno tidak terima rayuan ahli gagal bayar yuran

KANGAR: Umno tidak menerima sebarang rayuan daripada ahli yang gagal menjelaskan yuran tahunan keahlian RM1 sehingga menyebabkan mereka tidak boleh bertanding pada pemilihan parti tahun depan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata ahli mempunyai tempoh sebulan setengah sehingga 31 Disember untuk menjelaskan yuran.

"Kita jangka berlaku pertandingan hebat membabitkan semua peringkat sama ada cawangan, bahagian dan peringkat Pusat pada pemilihan parti tahun depan.

"Justeru, saya mengingatkan mereka menjelaskan yuran sebelum berhasrat bertanding kerana selepas 31 Disember, ibu pejabat tidak layan ahli yang gagal menjelaskan yuran," katanya selepas majlis Jasamu Dikenang, di sini semalam.

Beliau berkata, bagi memudahkan ahli, Umno mewujudkan sistem warna mengandungi nama senarai ahli yang layak menghadiri mesyuarat Umno di cawangan masing-masing tahun depan.

Katanya, lima kategori warna akan diedarkan ke setiap cawangan dengan kuning mengandungi senarai nama keseluruhan ahli yang menjelaskan bayaran yuran, manakala Putih untuk cawangan, Pemuda (biru), Wanita (merah) dan Puteri (merah jambu).

"Senarai nama mengikut warna ini akan diedarkan ke cawangan selewat-lewatnya Februari ini dan dipamerkan untuk semakan di dewan mesyuarat ketika persidangan. Mereka yang tiada dalam senarai hanya layak sebagai pemerhati," katanya

Mohd Radzi berkata, pada pemilihan parti 2004 lalu, pihaknya menerima banyak rayuan ahli untuk membolehkan mereka bertanding selepas gagal menjelaskan yuran RM1.

"Terlupa dan sibuk adalah alasan yang kerap diterima. Selepas 31 Disember ini, kita menutup sebarang rayuan bagi menumpukan perkara lain yang lebih besar. Kita perlu tegas soal yuran ini," katanya

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi jumlah sebenar ahli masih tidak menjelaskan yuran tetapi menyatakan ramai daripada 3.3 juta ahli Umno belum menunaikan tanggungjawab itu.

Beliau berkata, bagi mengelak kekeliruan, ahli diminta hadir sendiri menjelaskan yuran di Umno bahagian tanpa menggunakan pihak ketiga, termasuk ketua cawangan.

"Kita sedar ada ahli menyerahkan kepada ketua cawangan menjelaskan yuran. Ada ketua cawangan pula memilih ahli tertentu saja. Bila berlaku pemilihan, timbul kekecohan kerana ahli terbabit tidak layak bertanding,” katanya.

Selain itu, Mohd Radzi berkata, Umno sedang merangka sistem baru membabitkan etika kempen, mesyuarat dan pertandingan.

No comments: