Sun | Nov 18, 07 | 5:12:05 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - Terma Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat kes skandal klip video Dato' VK Lingam, hendaklah juga dilakukan ke atas kes pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas, dan dua bekas hakim Mahkamah Agung, Tan Sri George Seah dan Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh yang berlaku pada tahun 1988 lalu.
Menurut Peguam yang juga Setiausaha Agung, Malaysian Democratic Party (MDP), Wee Choo Keong, yang mengadakan sidang media di ibu pejabat MDP di Petaling Jaya, hari ini, siasatan tersebut perlu juga dilakukan ke atas laporan polis yang dibuat oleh Thirunama Karasu berhubung klip video Lingam yang dilaporkan di Balai Polis Kelana Jaya pada 19 Mac 2007 lalu.
Dalam pada itu, katanya, terma siasatan diraja itu perlu dilakukan ke atas semua kes yang melibatkan badan kehakiman negara.
Malah katanya, beliau sendiri pernah menjadi mangsanya iaitu pada tahun 1995 kemenangannya sebagai Ahli Parlimen Bukit Bintang dibatalkan oleh Hakim Pilihan Raya, Dato' Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim tanpa mengadakan pilihan raya.
Manakala calon Barisan Nasional pula katanya, diisytiharkan sebagai pemenangnya.
"Pada masa itu saya menyifatkan diri saya mengalami 'raw deal' dan saya terpaksa menderita dalam diam.
"Lagi pun saya tidak ada bukti untuk menunjukkan wujudnya salah guna kuasa dalam bidang kehakiman," katanya. - mks.
No comments:
Post a Comment